Berita

Lelaki Terkejut ‘Kad Saman’ Sarkastik Ditemui Diselitkan Di Cermin Depan Kereta

Seorang lelaki menemui satu ‘kad kesalahan parking’ yang diletakkan pada keretanya selepas dia dipercayai meletakkan kenderaan terlalu rapat dengan kereta lain.

Berbeza dengan nota tulisan tangan biasa, kad tersebut direka secara profesional, dicetak kemas dan turut mempunyai senarai semak untuk pelbagai jenis kesalahan parking.

Menerusi gambar yang dimuat naik, kad itu diselitkan pada pengelap cermin hadapan keretanya. Di bahagian depan kad tersebut tertulis: “Anda parking dengan zalim.”

Di bawahnya pula tertulis sindiran: “Sila pertimbangkan untuk belajar memandu semula.”

Bahagian belakang kad tersebut dicetak lebih terperinci dengan senarai semak beberapa kemungkinan kesalahan seperti:

‘Ini spot untuk OKU’
‘Ambil 2 spot parking’
‘Parking dekat sangat’
‘Parking senget’
‘Double park nombor mana?’
‘Kebebalan umum’

Dalam gambar yang dikongsikan, kotak untuk kesalahan ‘parking dekat sangat’ ditandakan. Kad itu turut mengandungi beberapa ayat sinis yang meminta pemandu lebih peka terhadap keadaan sekeliling, menghormati orang lain dan belajar cara parking dengan betul.

Perkongsian tersebut pantas menjadi viral dan meraih lebih 31,000 tanda suka setakat artikel ini ditulis. Dalam komen yang disematkan, lelaki itu kemudian berkata dia berjaya menemui asal-usul kad tersebut dan berkongsi pautan Shopee bagi produk ‘Malaysian Parking Violation Card’.

Menurut individu tersebut, kadangkala sebuah kereta parking senget terlebih dahulu sehingga memaksa pemandu lain menyesuaikan kedudukan kereta mereka. Apabila kereta pertama beredar, kereta lain pula kelihatan seperti pihak yang bersalah.

Related Articles

Back to top button