Lelaki Masuk ICU Sebab Cabut 9 Batang Gigi Sekali Gus
Apa yang sepatutnya menjadi sesi pemeriksaan pergigian biasa hampir bertukar tragedi bagi seorang lelaki di Shanghai, China, selepas dia mengambil keputusan untuk mencabut sembilan batang giginya dalam satu sesi.
Akibatnya beberapa komplikasi yang mengancam nyawa selepas sesi cabut gigi, dia yang tidak sedarkan diri dan terus dikejarkan hospital dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menurut laporan Sin Chew Daily, lelaki berusia 80 tahun yang bernama Chen itu mempunyai rekod kesihatan yang baik, kecuali sakit gigi sekali-sekala yang menjejaskan pemakanannya.
Chen terjumpa iklan di telefonnya dari sebuah hospital bernama Yingbo Dental yang mendakwa menyediakan pesakit dengan memasang ‘implan pada waktu pagi’, yang kemudiannya membolehkan mereka ‘makan pada waktu petang’.
Disebabkan rasa ingin tahu, Chen pergi hospital untuk bertanya tentang prosedur tersebut. Bagaimanapun, doktor memberitahunya bahawa semua giginya dalam keadaan teruk dan perlu dicabut selepas menjalani ujian X-ray.
Doktor juga mencadangkan bahawa gigi chen dicabut dengan segera bagi menjimatkan perjalanan tambahan ke hospital. Chen akhirnya mengalah dan menandatangani beberapa borang kebenaran sebelum dia dibawa ke pembedahan untuk pengekstrakan gigi.
Semasa prosedur, yang menyaksikan sembilan daripada gigi ini dicabut dari rahang atasnya, Chen tiba-tiba tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke bilik kecemasan hospital lain, di mana dia berada di sana selama seminggu.
Berdasarkan rekod kesihatan hospital, Chen menjalani bius untuk mencabut gigi tetapi kemudiannya mengalami ketidakselesaan tekak selepas mulutnya mula berdarah.
Insiden tersebut kemudian menyebabkan Chen sukar bernafas, inkontinensia kencing dan pernafasan yang lemah, di mana intubasi trakea kecemasan perlu dilakukan untuk mengeluarkan sejumlah besar cecair berdarah dari badannya.
Chen kemudiannya didiagnosis dengan radang paru-paru yang disebabkan oleh penyedutan darah, kegagalan pernafasan akut, pendarahan alveolar, kekurangan buah pinggang akut, penyakit jantung aterosklerotik koronari dan fibrilasi atrium.
Keluarga Chen turut menzahirkan rasa marah, dengan anak lelakinya menggelar prosedur itu sebagai sangat berisiko kerana hampir meragut nyawa bapanya.
Seorang doktor gigi juga mengulas mengenai perkara tersebut, mengatakan tidak lebih daripada dua gigi biasanya dicabut dalam satu sisi pada satu masa, sambil menambah bahawa mencabut sembilan gigi dari rahang atas dalam satu prosedur memang agak jarang berlaku.
Doktor dari Yingbo Dental yang mempertahankan prosedur itu bagaimanapun berkata, Chen telah menjalani ujian darah terlebih dahulu, di mana ia menunjukkan paras gula dalam darah dan tekanan darahnya dianggap sesuai untuk pengekstrakan.
Doktor juga mengulangi bahawa Chen telah menandatangani borang persetujuan termaklum dan menegaskan bahawa membuang sembilan gigi sekaligus tidak menjadi masalah.
Sumber: Sin Chew Daily