Lelaki Lari Bersama Bakal Ibu Mentua 9 Hari Sebelum Majlis Perkahwinan
Tinggal sembilan hari sebelum melangsungkan perkahwinan, seorang lelaki di Uttar Pradesh, India bertindak melarikan diri bersama bakal ibu mentuanya gara-gara didakwa mempunyai hubungan istimewa.
Rahul sepatutnya melangsungkan perkahwinan bersama tunangnya, Shivani pada 16 April ini. Namun, pada 6 April, Rahul melarikan diri bersama ibu Shivani yang bernama Anita. Tidak hanya itu, mereka turut mengambil duit simpanan keluarga tersebut.
Shivani dan bapanya, Kumar memberitahu, mereka menyedari kemesraan antara Rahul dan Anita sebelum ini. Namun, mereka tidak mahu berfikir yang bukan-bukan memandangkan majlis perkahwinan yang bakal menjelang.
“Rahul dan ibu saya asyik berbual dalam telefon sejak tiga hingga empat bulan lalu.
“Ibu saya mengambil semua wang kami. Dia boleh melakukan apa yang dia mahu sekarang, kami tidak kisah.
“Apa yang kami mahukan adalah wang dan barang kemas itu dikembalikan kepada kami,” kata Shivani.
Dalam pada itu, Kumar berkata, dia cuba menghubungi isterinya beberapa kali namun wanita tersebut mematikan telefon bimbit.
“Saya menghubungi (Rahul) juga tetapi dia menafikan Anita ada bersamanya.
“Rahul akhirnya berkata bahawa saya telah menyusahkan isteri saya selama 20 tahun dan saya harus melupakan Anita,” kata Kumar seperti dilaporkan Oddity Sentral.