Kisah Raya Emas & Masyarakat Salako Jadi Taruhan

DI tengah hutan hujan Borneo, ada sebuah legenda yang kuat terus berkembang- kisah tentang Raya Emas, sekuntum bunga emas dengan khasiat penyembuhan yang luar biasa.

Rentetan daripada kisah legenda tersebut membawa kepada terhasilnya filem Raya Emas – Salako Sacred Treasure yang mendapat maklum balas yang positif daripada sebahagian besar yang hadir ke tayangan perdana filem berkenaan baru-baru ini.

Yang menjadi perhatian pastinya visual yang memukau, jalan cerita yang menarik, dan lakon layar yang kuat selain mengetengahkan potensi pelancongan luar biasa Sarawak.

Bagi Penerbit Eksekutif, Winson Voon berkata, filem Raya Emas – Salako Sacred Treasure bukan sekadar hiburan, tetapi turut memaparkan keindahan sinematik dan tradisi masyarakat Salako di Sarawak.

“Saya ingin menyatakan penghargaan yang mendalam terhadap sokongan pihak Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, menekankan peranan penting kementerian dalam merealisasikan projek ini.

“Malah, pihak kementerian juga menekankan potensi filem ini untuk menarik pelancong antarabangsa dengan mempamerkan tarikan unik Sarawak kepada tontonan global,” ujarnya.

Raya Emas – Salako Sacred Treasure dibintangi oleh Ahirine Ahirudin, Wilson Voon, Dunstun Luther Junior, Melissa Francis, Nina KAC dan ramai lagi.

Raya Emas – Salako Sacred Treasure bakal menemui penonton 3 April ini.

Kisah ini menggabungkan kehidupan Zul, seorang bapa yang terdesak dan Ansamah, anak angkat seorang ketua suku yang berjuang untuk membuktikan dirinya layak sebagai penjaga Salako pelindung atau Raya Emas.

Turut sama sekumpulan peneroka muda yang diketuai oleh Diana, seorang gadis yang mendapati dirinya memiliki kuasa ramalan. Didorong oleh harapan untuk menyelamatkan anak perempuannya yang sakit, Zul menemui sebuah jurnal lama yang menceritakan tentang Raya Emas.

Tekadnya yang baru membawanya untuk mencari bunga legenda ini, walaupun terpaksa menjelajah ke kedalaman hutan hujan yang belum diterokai.

Menurut Winson, hampir 80 peratus penggambaran di Lundu, Sarawak yang akan membawa penonton menyusuri keindahan hutan hujan Borneo yang jarang dilihat umum.

Filem tersebut yang menampilkan hampir keseluruhan pelakon dari Sarawak, berfungsi sebagai platform yang kuat untuk mempamerkan bakat tempatan dan memperkukuhkan industri filem tempatan.

“Walaupun jalan cerita filem ini tentang Raya Emas iaitu sejenis bunga emas dengan kuasa penyembuhan luar biasa adalah kisah fiksyen, ia tetap menggambarka budaya dan tradisi masyarakat Salako yang memberikan pandangan unik kepada Sarawak yang kaya dengan pelbagai warisan.

“Dengan menyokong filem seperti ini, kita bersama-sama melabur dalam masa depan pelancongan Sarawak dan memupuk pertumbuhan ekonomi dalam negeri ini,” ujarnya.

Bakal ditayangkan bermula 3 April ini diseluruh pawagam, Raya Emas – Salako Sacred Treasure diterbitkan oleh Tinytune Production dengan kerjasama Filmmaker Studio, Sky Picture dan Filmforce Studio.

Related post

Leave a Reply