Kisah Hutang Buat Rakan Terdekat Menjauh

RAMAI yang mula menjauh. Itu kisah yang didedahkan oleh pelakon Rozita Che Wan apabila kontroversi hutang dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) tular sehingga membuatkan namanya ‘panas’.

Jelasnya lagi, ada dalam kalangan rakan-rakan terdekat menjauhkan diri daripadanya dan menganggap perkara tersebut bukanlah sesuatu yang mengejutkannya.

“Benar ada yang memjauhkan diri. Saya anggap ini ujian Allah untuk saya dan pada masa itulah baru kita tahu siapa kawan. Saya cuma fikir positif sahaja.

“Setiap sesuatu itu mempunyai hikmah,” katanya kepada pihak media ketika ditemui selepas majlis pertunjukan fesyen Hikayat Ariani Karya Seindah Busana baru-baru ini.

Walaupun ‘ditinggalkan’ rakan-rakan tersebut, wanita yang mesra disapa dengan panggilan Che Ta ini bagaimanapun tidak mahu mendedahkan siapakah gerangan tersebut.

Namun, ada penegasan yang dibuat olehnya- semua hutang telah dilangsaikan kecuali pinjaman perumahan.

“Saya bersyukur kerana semuanya telah diselesaikan. Saya sendiri tidak lagi berhutang dan ada kaitan dengan mereka (Mara).

“Cuma saya masih ada pinjaman bank untuk rumah yang perlu dibayar. Rasanya semua orang pun tidak boleh mengelak dengan komitmen seperti itu,” kata isteri kepada pelkaon Zain Saidin ini lagi.

Pun begitu, Che Ta menganggap apa yang dilalui sebagai ujian untuknya terus kuat dalam menghadapi masalah mendatang. Dia sendiri mengambil sikap bertenang daripada terus melenting mempertahan diri sewaktu kes ini menjadi perhatian masyarakat.

Keluarga Rozita turut menerima tempias disebabkan kes hutang tersebut.

Tambahnya, dia tidak mahu tampil memberikan respons kepada sesiapa memandangkan mereka bukanlah ‘masalah’ tersebut.

“Mereka pun tertanya-tanya bagaimana saya boleh setenang ini. Saya hanya cakap, setiap masalah ada masa untuk berakhir. Allah takkan turunkan ujian kalau kita sebagai hamba ini tak dapat menanganinya. Saya percaya Allah selalu ada,” katanya lagi.

Terdahulu, kediaman Che Ta di Kota Damansara, Selangor diserbu kakitangan Mara dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.

Bagaimanapun aktres dia sudah menyelesaikan hutang tersebut namun tidak memperincikan butiran mengenainya.

Related post

Leave a Reply