Berita

“Kesihatan Norish Karman Merudum”

Anak kepada pelakon Norish Karman iaitu Manda berkongsi khabar membimbangkan apabila memaklumkan keadaan kesihatan ibunya kini semakin merosot dan sedang menerima rawatan di sebuah pusat perubatan.

Menurut Manda, ibunya kini berada dalam keadaan berisiko tinggi, namun tidak memperincikan penyakit yang dihidapi.

“Keadaan kesihatan Norish Karman atau bunda yang kami kasihi merudum, dia kini dalam situasi berisiko tinggi.

“Apakan daya kami anak-anak yang masih jauh perjalanan belum mampu memberi terbaik.

“Saya mohon sangat kepada sesiapa membaca ini, titipkan doa kerana itulah harapan yang masih tinggal,” katanya menerusi satu hantaran.

Dalam masa sama, Manda memaklumkan mereka sekeluarga tidak putus-putus berdoa agar ibunya diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan rawatan.

Malah, dia turut merayu kepada orang ramai untuk menghulurkan bantuan bagi menampung kos perubatan yang semakin meningkat.

“Doa agar Allah SWT beri ibu kami peluang rawatan, diberikan kesembuhan dan angkat segala kesakitan. Tak sanggup lagi melihat keperitan dia lalui.

“Ketika ini Norish menggunakan kerusi roda bagi mengurangkan beban pada jantungnya.

“Jika ada yang berhati mulia, sudi menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk. Setiap sokongan, sama ada doa, tenaga atau bantuan kewangan amat besar maknanya buat saya dan adik-adik,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Manda turut berkongsi foto ibunya yang terlantar di katil hospital menerusi akaun Threads milik pelakon berkenaan, sekali gus mengundang rasa simpati dalam kalangan wargamaya.

Related Articles

Back to top button