Kereta Rempuh Kedai Loteri, Orang Ramai Berebut Beli Nombor Ekor
SEORANG wanita berusia 60-an secara tidak sengaja merempuh sebuah kedai nombor ekor di Bukit Mertajam selepas dia didakwa dengan tidak sengaja menekan minyak keretanya dan bukan pedal brek.
Insiden berkenaan bukan sahaja mengejutkan orang ramai, tetapi menyebabkan nombor pendaftaran keretanya menjadi pilihan pembeli nombor ekor pada ketika itu.
Memetik China Press, kemalangan tersebut berlaku sekitar 11.10 pagi di Taman Desa Damai, semalam.
Difahamkan, wanita itu cuba meletak kenderaan di hadapan kedai berkenaan, namun hilang kawalan ke atas kereta dan merempuh bahagian hadapan kedai. Situasi berkenaan menyebabkan sebahagian jeriji besi musnah.
Begitupun, tiada kecederaan dilaporkan.
Saksi berkata, kereta itu melanggar sebelah dinding kedai, berhampiran kerusi plastik tempat pelanggan sering berehat selepas membuat pertaruhan.
Susulan kemalangan tersebut, nombor plat kenderaan itu iaitu 1166 meraih perhatian ramai selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Nombor itu menjadi nombor pilihan bertuah dalam kalangan pemain loteri dan habis dijual dalam masa lebih dua jam. Ada juga yang meletakkan pertaruhan pada nombor alamat kedai, mengharapkan nasib yang baik.
Difahamkan, selepas kemalangan, pemandu wanita berkenaan menghubungi anak perempuannya yang kemudiannya tiba untuk membantu menghantar kereta itu ke bengkel berhampiran.
Kedai nombor ekor itu dilaporkan telah beroperasi di lokasi semasa selama beberapa tahun selepas berpindah dari tempat lain di jalan yang sama.