Trending

“Janna Tiada Masalah Dengan Saya, J Itu Bukan Dia”

Pelakon, Zara Zya, 41, menafikan dakwaan yang mengaitkan aktres Janna Nick sebagai individu yang pernah memperlekehkan dirinya ketika awal pembabitan dalam industri seni.

Menurut Zara, Janna sebenarnya mula menceburi dunia lakonan selepas dirinya dan mereka juga tidak pernah mempunyai sebarang masalah antara satu sama lain.

“Tidak, bukan Janna. Janna masuk dalam industri ini selepas saya, kiranya dia orang baharu selepas saya.

“Dia bagus, tiada masalah dengan saya dan kami juga berkawan. Yang ‘J’ itu bukan dia, biarlah yang tahu sahaja tahu,” katanya.

Zara menjelaskan, perkongsian yang dibuat di media sosial sebelum ini bukan bertujuan untuk membuka aib mana-mana pihak, sebaliknya sebagai peringatan kepada pendatang baharu supaya lebih bersedia apabila melangkah ke dalam industri hiburan.

“Saya sebenarnya mahu berkongsi di Threads untuk orang-orang baharu supaya mereka lebih bersedia, ada ilmu dan pandai menjaga diri. Tetapi saya kongsi satu cerita dahulu, yang lain mungkin selepas ini,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Zara turut mengakui ada kalanya dia menulis sesuatu di media sosial tanpa sempat meneliti reaksi atau komen daripada pengikut.

“Kadang-kadang kita sibuk, tulis sahaja dan tidak sempat melihat komen. Bila malam dan ada masa terluang, barulah saya semak semula,” ujarnya.

Berkongsi lanjut mengenai pengalaman tersebut, Zara berkata insiden berkenaan berlaku ketika dirinya masih baharu dalam dunia lakonan dan belum dikenali ramai.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika dia menjalani penggambaran di sebuah pusat beli-belah berhampiran seorang artis wanita yang ketika itu sedang melayani peminat untuk bergambar.

“Ada orang bergambar dengan dia, saya pula berada tidak jauh dari situ. Selepas selesai bergambar, dia datang kepada saya dan ketawakan saya.

“Dia kata saya tidak popular pun, siapa mahu bergambar dengan saya,” katanya.

Bagaimanapun, kata-kata tersebut tidak mematahkan semangat Zara. Sebaliknya, dijadikan sebagai motivasi untuk membuktikan kemampuannya dalam industri seni.

“Dalam situasi itu saya rasa pelik. Nak kata sedih pun tidak kerana saya bukan jenis orang yang terlalu mengambil kisah perkara sebegitu.

“Tetapi dalam hati saya berazam, insya-Allah satu hari nanti orang akan tahu siapa saya.

“Saya jenis orang yang serius dalam kerja dan akan lakukan sesuatu bersungguh-sungguh. Alhamdulillah, sekarang orang sudah mula mengenali saya,” ungkap Zara.

Related Articles

Back to top button