Isteri Fail Cerai, Edika Yusof Belum Sedia Dedah Punca

PELAKON, Edika Yusof, 57, mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut berhubung tindakan isterinya, Nor Hidayah Yusri yang memfailkan tuntutan cerai terhadapnya pada Februari lalu.

Edika berkata, dia mahu menyelesaikan isu rumah tangganya dengan sebaik mungkin dan akan berkongsi kepada umum apabila sudah tiba masa yang sesuai.

“Nanti saya akan maklumkan ya, tiada apa yang serius. Insya-Allah, kami berdua akan berbincang sebaik mungkin,” katanya dipetik Harian Metro.

Dalam pada itu, Edika tidak menolak kemungkinan isterinya sanggup bertindak sedemikian biarpun usia perkahwinan sudah memasuki 22 tahun disebabkan mereka tidak sekufu.

Semalam, tiada angin tiada ribut, Hidayah mengejutkan ramai apabila hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bagi sebutan pertama kes perceraian dengan suami.

Difahamkan Hidayah membuat permohonan cerai dengan alasan tiada lagi persefehaman dalam rumah tangga yang dibina bersama Edika.

Menurut peguam syarie yang mewakili Hidayah iaitu Mohd Yazid Hazim, anak guamnya itu telah membuat pemfailan tuntutan cerai kepada defendan (Edika) pada pertengahan Februari lalu.

Terdahulu, kisah pengorbanan Edika yang setia menjaga Hidayah yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak kedua mereka sejak 16 tahun lalu telah meraih perhatian ramai.

Untuk rekod, Edika dan Hidayah telah mendirikan rumah tangga pada 2003 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nazirul Afiq, Fardeen Nasrulhaq dan Fereena Nurulhaq.

Related post

Leave a Reply