
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 47, mengingatkan penggiat seni agar sentiasa memelihara adab dan saling menghormati antara satu sama lain tanpa merasakan diri lebih tinggi berbanding orang lain.
Pemilik nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin, berkata perkongsian di Threads miliknya sebelum ini dikaitkan dengan isu sindiran terhadap Konsert Legacy 30 adalah tidak ditujukan kepada mana-mana pihak secara khusus, sebaliknya sekadar menjawab pertanyaan peminat dengan nada seloroh.
“Dulu mungkin saya akan memilih untuk berdiam diri, tetapi sekarang saya rasa sudah tiba masanya untuk menjawab dengan lebih matang.
“Saya bukan membalas sesiapa, cuma menjawab soalan peminat. Itu pun secara berseloroh dengan menyelitkan lirik lagu sendiri,” katanya.
Siti menegaskan, situasi tersebut seharusnya dijadikan pengajaran kepada semua pihak dalam industri hiburan supaya lebih menghargai antara satu sama lain dan tidak merendahkan orang lain di media sosial.
“Industri kita ini kecil sahaja. Lambat laun kita akan berjumpa orang yang sama juga. Jadi kalau ada perkara yang kurang enak, tak perlulah diluahkan dengan cara mahu merendahkan orang lain.
“Lebih baik kita saling menyokong kerana industri muzik kita baru sahaja kembali rancak. Perkara seperti ini sebenarnya tidak membawa kebaikan,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, pelantun lagu Kesuma ini mengakui peminatnya, khususnya SitiZoners, cukup matang dan bijak menilai sesuatu isu meskipun hantaran tersebut tidak menyebut mana-mana nama.
“Sebab itu saya rasa tak perlu nak berlawan. Peminat saya sendiri tahu menilai dan akan bertindak. Saya tak perlu nak melenting.
“Walaupun saya mungkin tak baca, tetap akan ada yang sampaikan. Sebenarnya tak perlu pun menulis perkara seperti itu di media sosial,” ujar ibu dua anak itu.
Terdahulu, pemilik Icon Entertainment, Iman Tang didakwa menyindir Konsert Legacy 30 yang disifatkan sebagai membosankan dan kurang pembaharuan.
Walaupun tidak menyebut nama, ramai netizen termasuk peminat Siti percaya kenyataan tersebut ditujukan kepada Biduanita Negara itu, namun Iman menafikannya.
Begitu pun, Iman menegaskan perkongsian yang dimuat naiknya bukan ditujukan kepada penyanyi nombor satu negara itu. Sebaliknya penganjur konsert lain.



