Himpun waris seniman, seniwati kongsi pengalaman
KUALA LUMPUR: Demi terus memartabatkan industri seni, Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR) tampil dengan program Seloka Legenda Waris Seni akan menghimpunkan waris seniman dan seniwati tanah air untuk berkongsi pengalaman kepada umum.
Dengan mengangkat tema, ‘ke mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi’, program bual bicara yang akan berlangsung di Hotel Grand Barakah, Ampang pada 13 Oktober itu bertujuan memartabatkan seniman dan seniwati melalui pewarisnya.
Pengerusi PEMEKAR, Amran Nasrudin, berkata antara lain objektif program adalah mengangkat dan menggerakkan aktiviti anak seni melalui ikon lakonan, muzik dan tarian sebagai usaha mengenali lebih dalam bintang serta tokoh seni negara.
“Sebenarnya sudah lama merancang anjurkan program ini, jadi akhirnya dapat dilaksanakan pada 13 Oktober ini. Konsep program bual bicara membabitkan legasi anak seni tanah air terdiri daripada waris mengikut jejak langkah ibu bapa.
“Disebabkan itu, kami mengetengahkan tema Seloka Legenda Waris Seni yang memberi maksud legasi seseorang penggiat seni akan diteruskan oleh waris. Tidak kira cabang seni diceburi,” katanya kepada BH Online. Amran berkongsi hala tuju program ketika ditemui pada sidang media dan majlis pelancaran program Seloka Legenda Waris Seni di Hotel Grand Barakah, Ampang, baru-baru ini.
Majlis itu dirasmikan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi.
Antara waris penggiat seni terbabit termasuklah Fauziah Ahmad Daud (waris Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah), Dilla Hussein dan Fairuz Hussein (waris Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail), Hairie Cool (waris Sophia Ibrahim) dan Osama Yamani (waris Datuk Jamal Abdillah).
Jelas Amran, setiap waris kepada seniman dan seniwati berkongsi mengenai lagu dan lakonan yang pernah dijayakan waris bermula era 1950-an lagi.
“Program ini juga akan mengetengahkan kembali muzik dan lagu popular dalam segmen persembahan pentas dan lagu oleh pewaris melalui visual filem.
“Selain itu, kami menyelitkan pelbagai elemen tambahan supaya penonton tidak rasa bosan. Harapan kami amat tinggi memberikan pengalaman kepada generasi baharu untuk datang dan melihat kejayaan anak seni bertaraf legenda ini,” katanya.
Amran berkata, bahan diketengahkan turut diharapkan mampu membantu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam jurusan seni kreatif.
“Memang hasrat agar program ini dapat membantu usaha mendokumentasikan bidang seni filem dan muzik sebagai bahan rujukan pelajar seni serta disimpan sebagai warisan sejarah.
“Selain itu, kami mengharapkan program ini dapat mempertingkatkan seni dalam muzik lagu popular menerusi segmen persembahan pentas dan lagu oleh pewaris melalui visual filem, sekali gus memberi manfaat kepada pelajar IPT.
“Pelajar IPT juga mampu mendokumentasikan bidang muzik sebagai bahan rujukan seniman dan penggiat seni apabila ketiadaan mereka nanti.
“Kami turut menyelitkan pelbagai elemen tambahan supaya penonton tidak rasa bosan,” katanya.
Program terbahagi kepada tiga segmen perkongsian itu akan dikendalikan pelakon dan pelawak, Azrul Zaidi sebagai moderator.