G-DRAGON Gegarkan F1 Singapura 2025, Himpun 65,000 Peminat Dengan Persembahan Ikonik di Padang Stage
Ikon muzik global dan penyanyi K-Pop, G-DRAGON mencipta sejarah di acara 2025 Formula 1 Singapore Grand Prix apabila berjaya menarik kehadiran penonton seramai 65,000 orang semasa persembahan utamanya di Padang Stage pada 3 Oktober lalu.
Diadakan di Marina Bay Street Circuit, iaitu lokasi perlumbaan malam F1 pertama di dunia, edisi tahun ini turut berfungsi sebagai festival muzik berskala besar dengan G-DRAGON dan Elton John diumumkan sebagai persembahan utama (co-headliners).
Persembahan ini menandakan kemunculan semula G-DRAGON di Singapura selepas lapan tahun, sejak jelajah dunianya ACT III, M.O.T.T.E pada tahun 2017. Kepulangannya disambut dengan sorakan luar biasa daripada peminat tempatan dan antarabangsa.
Ketika lampu pentas dipadam dan kelibat G-DRAGON muncul, ribuan peminat melaungkan nama sebenarnya, ‘Kwon Ji Yong!’. Dia kemudian membalas dengan persembahan bertenaga selama 90 minit, menampilkan lagu-lagu baharu seperti POWER, HOME SWEET HOME dan TOO BAD (feat. Anderson Paak).
Selesai konsert, media sosial dibanjiri pujian daripada peminat yang menyifatkan persembahan tersebut sebagai persembahan yang “tak akan dilupakan”, “melampaui jangkaan” dan “antara persembahan langsung paling hebat pernah disaksikan.”

Bersempena konsert tersebut, Singapura turut menganjurkan ‘G-DRAGON Media Exhibition: Übermensch’, sebuah pameran seni interaktif berteknologi tinggi yang dihasilkan oleh Galaxy Corporation dan CreativeMUT.
Pameran yang berlangsung di Changi Experience Studio, Jewel Changi Airport itu menerima sambutan hangat dan ulasan positif kerana pengalaman digitalnya yang mendalam dan futuristik.
Konsert F1 ini hanyalah satu hentian dalam siri ‘G-DRAGON 2025 WORLD TOUR [Übermensch]’, yang telah menjelajah bandar-bandar besar seperti Seoul, Tokyo, Macau, Sydney, Las Vegas, dan Paris.
Jelajah ini akan diteruskan ke Osaka (20–21 Oktober), Taipei, Hanoi, sebelum berakhir dengan konsert penutup megah di Seoul pada Disember ini, sekaligus mengukuhkan status G-DRAGON sebagai ikon global sejati dalam dunia muzik dan fesyen.
