Fazura Teruja Pung Pang Raya Dapat Sambutan Peminat
KOLOBERASI perdana antara Fazura dan Syasya Rizal nampaknya menjadi apabila lagu Raya Pung Pang nyanyain mereka mendapat sambutan hangat daripada peminat.
Sejak dilancarkan dua minggu yang lalu, video muzik (MV) Pung Pang Raya sudah ditonton lebih 1.4 juta selain mendapat maklum balas positif daripada peminat.
“Alhamdulillah, saya terharu dengan sambutan yang diberikan pendengar. Ramai yang memberikan maklum balas positif, saya amat hargainya,” kata Fazura.
Mendengarkan sahaja keseluruhan lagu ini, pastinya kekuatan utama lagu berkenaan terletak kepada melodi rancak dan mesej penuh makna mengenai kebersamaan dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri.
Lagu hasil ciptaan Mage, Ja’a, Glowrush dan Nick Ariff terbitan Universal Music Malaysia ini adalah hasil kerjasama antara Universal Music Malaysia, Faithful Music dam Fazura Studios.
Fazura berkata, merakam lagu Raya Pung Pang bersama Syasya adalah sesuatu yang istimewa dan penuh mengujakan.
“Saya sangat teruja dan bersyukur diberikan peluang untuk bekerjasama buat pertama kali dengan beberapa individu berbakat dalam single raya ini. Ini adalah pengalaman baru buat saya dengan persekitaran kerja yang berbeza.
“Bekerjasama dengan Syasya untuk lagu ini juga adalah pengalaman menarik kerana ini kali pertama saya berduet dengan artis wanita, lebih istimewa lagi kerana ia adalah buah tangan khas untuk Aidilfitri,” tambahnya lagi.

Ibu kepada seorang cahaya mata ini juga berharap peminat dapat menikmati lagu dan MV Raya Pung Pang selain menjadikan ia sebagai sebahagian daripada kemeriahan perayaan mereka.
“Saya harap semua akan terhibur mendengar lagu ini dan menonton video muziknya. Saya juga berharap semua dapat menikmati sambutan raya dengan mencipta momen indah bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Tidak kira sama ada perayaan itu kecil atau besar, yang paling penting ialah menghargai detik-detik bersama insan tersayang,” tambahnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Fazura menjangkakan tahun ini adalah tahun yang sibuk dengan pelbagai komitmen dalam bidang perniagaan, lakonan dan muzik.
Menyasarkan 2025 sebagai tahun yang sibuk, dia mahu memberikan fokus kepada bidang perniagaan, lakonan dan juga muzik bersama ahli pasukan yang banyak membantu melincinkan perjalanannya nanti.