
Penyanyi, Elyana, 39, meluahkan rasa marah dan kecewa terhadap seorang individu yang bertindak menghina rupa paras anak angkat perempuannya, Cahaya Ramadhani.
Menurut pemilik nama lengkap Erneelya Elyana Emrizal, dia sama sekali tidak boleh berkompromi apabila hal melibatkan anaknya, apatah lagi komen berkenaan mengandungi unsur penghinaan melampau.
“Bab anak, jangan main-main. Saya besarkan anak saya tanpa meminta simpati atau belas ihsan sesiapa. Jadi kenapa perlu bersikap biadab dan menghina?” luahnya menerusi hantaran di Threads.
Elyana turut mempersoalkan sikap individu terbabit yang sanggup mengejek seorang kanak-kanak, sedangkan perbuatan itu jelas meninggalkan kesan emosi yang mendalam.
“Sejak kecil sampai usia tujuh tahun saya besarkan dia, tak pernah berhenti tekanan yang kami terima. Anak angkat juga ada perasaan. Anak kecil juga ada hati,” katanya dengan nada kesal.
Penyanyi lagu Kalis Rindu itu mengakui sudah lama memendam perasaan, namun tidak mampu lagi berdiam diri apabila penghinaan tersebut semakin melampau dan berulang.
Komen biadab itu ditinggalkan susulan Elyana berkongsi momen hari pertama Cahaya Ramadhani melangkah ke alam persekolahan, yang sepatutnya menjadi kenangan manis buat keluarga mereka.
Dalam satu lagi hantaran, Elyana turut mendedahkan identiti individu terbabit dan menyatakan kesediaannya untuk bersemuka, malah menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang mengenali wanita tersebut.



