“Doakan Saya Dapat Jodoh Yang Terbaik, Beriman & Sayang Fatima”

Pelakon dan penyanyi, Nur Fazura, 42, berharap orang ramai terus mendoakan kebahagiaannya termasuk dipertemukan dengan jodoh terbaik yang mampu menyayangi dirinya serta anak perempuannya, Nur Fatima Aisya.
Menurut Fazura, jika suatu hari nanti dia kembali bertemu pengganti, perkara paling utama buat dirinya adalah lelaki tersebut mampu membawa ketenangan, setia serta mendapat restu anaknya selain diredai Allah SWT.
“Doakan saya mendapat jodoh yang terbaik, membahagiakan, setia, beriman dan menyayangi anak saya Fatima.
“Semoga mendapat jodoh yang Fatima juga restu dan diredai Allah SWT. Itu yang paling penting.
“Sebab kadang-kadang ada yang cakap saya sesuai dengan VVIP, bukan dalam industri, sesuai dengan orang ini orang itu,” katanya menerusi sebuah video.
Tambah Fazura, dia menyerahkan sepenuhnya soal jodoh kepada ketentuan Allah kerana percaya setiap aturan yang berlaku dalam hidupnya sudah ditetapkan dengan sebaiknya.
“Tapi kadang-kadang yang kita rasa terbaik namun rancangan Allah, adakah kita nak pilih ataupun mahu Allah yang pilih?
“Memanglah kalau dapat yang orang kata yang ada segala-galanya seperti beriman, semua itu bonuslah.
“Tapi kalau mereka tak dapat bahagiakan saya, macam mana nak buat?” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Fazura tidak menafikan pernah ada individu yang cuba mendekatinya, namun dia percaya setiap hubungan yang hadir mempunyai aturan tersendiri.
“Bukan tak ada yang mendekati saya sebelum ini. Ada dalam kalangan-kalangan saya juga.
“Hujung-hujung kita tak tahu ketentuan Allah itu adalah yang terbaik. Jadi harap semua doakan saya.
“Andai kata ada yang mendekati, berkawan dengan saya, jika Allah kata tidak, maka tidaklah.
“Siapa kita nak menentukan? Kalau Allah kata itu yang terbaik dan siapa kita untuk melarang juga,” katanya.
Pelakon filem Gol & Gincu itu turut meminta orang ramai terutama peminat agar tidak memberi tekanan atau terlalu mencampuri urusan peribadinya dalam mencari pasangan hidup.
Menurutnya, tekanan berlebihan daripada netizen kadangkala boleh memberi kesan kepada emosi seseorang.
Fazura turut berharap orang ramai terus menitipkan doa yang baik buat dirinya tanpa cuba menentukan arah hidup yang sudah diatur oleh Tuhan.
“Saya mencari bahagia, tenang dan tenteram buat sisa-sisa hidup ini. Tidak perlulah sesiapa menentukan ibarat mahu menyuap kehendak sendiri dalam mulut saya.
“Allah SWT lebih mengetahui dan Maha Berkuasa ke atas segala-galanya, pasti aturan rahsia-Nya yang terbaik. Mohon doakan yang baik-baik, itu sahaja,” katanya lagi.



