Trending

“Dahsyat Betul Yang Membenci Saya”

Usahawan dan pempengaruh, Khairul Aming meluahkan rasa hairan apabila segelintir netizen dilihat terlalu cepat membuat andaian bahawa popularitinya semakin merudum hanya kerana satu video yang dimuat naiknya menerima sekitar 300,000 tontonan.

Menurut Khairul atau lebih dikenali sebagai KA, dia tidak menyangka jumlah tontonan yang dianggap rendah itu menjadi bahan perbincangan sehingga ada yang mendakwa dirinya sedang melalui fasa kejatuhan dalam dunia media sosial.

“Saya macam, ya Allah, dahsyat betul yang membenci saya? Satu video dapat 300,000 tontonan pun terus menggelupur.

“Padahal mereka tidak tahu video itu sebenarnya pernah saya muat naik sebelum ini. Kalau cari semula video asal yang dimuat naik pada Oktober tahun lalu, ia sudah meraih lebih 10 juta tontonan,” katanya.

Khairul menjelaskan video tersebut sebenarnya dimuat naik semula sebagai sebahagian daripada eksperimen yang dijalankannya bagi menguji keupayaan sistem TikTok mengenal pasti kandungan yang pernah diterbitkan sebelum ini.

Katanya, dia hanya membuat sedikit perubahan pada video berkenaan termasuk menyunting beberapa bahagian dan menukar suara latar sebelum memuat naiknya semula ke platform tersebut.

“Kalau kita ambil video yang sama, sunting sedikit dan tukar suara latar, adakah TikTok akan mengesannya sebagai video yang sama atau video baharu? Itu yang KA nak cuba.

“Rupanya sistem itu memang dapat mengesan ia sebagai video yang sama, jadi video terbabit seperti disekat dan tidak masuk ke halaman For You Page (FYP),” jelasnya.

Pempengaruh yang sinonim dengan sapaan “Hey, What’s Up Guys” itu turut menyifatkan reaksi sesetengah pengguna media sosial sebagai keterlaluan kerana terlalu pantas merumuskan sesuatu tanpa mengetahui situasi sebenar.

Malah, ada yang mengaitkan jumlah tontonan video tersebut dengan dakwaan bahawa platform TikTok semakin kurang relevan dan pengaruhnya juga semakin pudar.

“Ada yang kata TikTok sudah tidak relevan, semua orang berpindah ke Threads dan ini adalah zaman kejatuhan Khairul Aming.

“Saya baca dan rasa macam, ya Allah… dahsyat juga. Satu video terus keluar teori bertaraf PhD,” katanya.

Related Articles

Back to top button