Cik B Terlepas Habuan RM150,000 & Tiket Barcelona Daripada DSV

Usahawan dan penyanyi, Cik B mengakui hasratnya untuk menerima habuan daripada ibunya, Datuk Seri Vida tidak kesampaian selepas sekadar meraih tempat ketiga dalam pertandingan realiti Talk To My Manager musim kedua (TTMM2).
Menurut pemilik nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, ibunya sebelum ini berjanji akan menghadiahkannya wang tunai RM150,000 serta percutian ke Barcelona, Sepanyol sekiranya dia berjaya muncul juara.
“Mama kata dia akan hadiahkan wang tunai RM150,000 dan bawa saya bercuti ke Barcelona, Sepanyol kalau saya jadi juara.
“Selain itu, kalau saya menang, semua pekerja di pejabat saya pun akan diberikan cuti. Cuma rezeki saya dapat tempat ketiga. Nasib baik, selamat juga poket mama,” katanya.
Bagaimanapun, Cik B berkata ibunya tidak menjanjikan sebarang ganjaran sekiranya dia menamatkan pertandingan di kedudukan selain juara.
“Mama tak janji apa-apa yang lain sebab mama cuma cakap tentang pemenang pertama sahaja. Saya okey, jalani hidup macam biasa.
“Sebenarnya saya boleh sahaja minta mama, contohnya, ‘Cik B dapat nombor tiga, boleh tak dapat RM30,000?’ Boleh sahaja.
“Sebab mama memang sangat supportive. Apa sahaja yang saya minta, mama tak pernah cakap tidak,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Cik B turut berkongsi sikap pemurah ibunya yang sering memenuhi permintaannya, termasuk menghadiahkan sebuah Lamborghini Urus Mansory sempena ulang tahun kelahirannya.
Katanya, dia sendiri tidak menyangka permintaan yang dibuat secara berseloroh akhirnya menjadi kenyataan.
“Tahu tak fasal Lamborghini Urus itu yang saya dapat baru-baru ini? Sebelum ini saya tak pernah minta apa-apa. Mama yang tanya saya nak hadiah apa untuk hari jadi.
“Waktu itu saya dah tak tahu nak minta apa sebab semuanya mama sudah berikan. Jadi saya saja cakap Lamborghini Urus. Tiba-tiba dapat pula.
“Mama memang seorang yang penuh kejutan. Sebab itu kadang-kadang saya tak beritahu apa yang saya nak kerana takut mama terus belikan. Sekarang ini pun rasa macam dah membazir,” katanya.
Pada pertandingan itu, Cik B dan ibunya yang bertindak selaku pengurus menamatkan saingan di tempat ketiga sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi.
Gelaran juara pula menjadi milik peserta termuda, Anggrek bersama ibunya, Adira Suhaimi selaku pengurus, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi.



