Bunyi Letupan & Percikan Api, Penumpang Panik Tren LRT3 Laluan Shah Alam Berhenti Mengejut

Perjalanan pertama seorang penumpang menaiki tren Laluan Shah Alam bertukar mencemaskan apabila tren yang dinaikinya didakwa berhenti secara mengejut sebelum kedengaran bunyi letupan kecil serta percikan api.
Penumpang tersebut berkongsi beberapa video kejadian di media sosial dan mendakwa dia bersama penumpang lain akhirnya diminta turun sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren berikutnya.
Menurut Sin Chew Daily, dia menaiki tren di Stesen Stadium Shah Alam sekitar jam 7 malam pada 5 Julai dan menuju ke Stesen Bandar Utama.
Ketika tren sedang bergerak ke arah Stesen Kerjaya, ia tiba-tiba berhenti di landasan bertingkat.
Hentian mengejut itu dilaporkan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penumpang.
Bagaimanapun, tren kembali bergerak kira-kira dua minit kemudian.
Penumpang itu mendakwa satu lagi insiden berlaku selepas tren melepasi Stesen Damansara Idaman.
Menurutnya, satu bunyi kuat seakan-akan letupan kedengaran dari bahagian luar tren.
Asap juga kelihatan melalui tingkap, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penumpang.
Tren itu kemudian tiba di stesen berikutnya sebelum semua penumpang diarahkan turun dan menunggu tren lain bagi meneruskan perjalanan.
Di penghujung video yang dikongsikan, tren berkenaan dilihat meninggalkan stesen tanpa penumpang.
Percikan api dan bunyi kuat turut kelihatan datang dari bahagian belakang tren ketika ia bergerak keluar.
Menurut penumpang tersebut, tren gantian tiba sekitar jam 7.34 malam, dan dia akhirnya tiba di Stesen Bandar Utamapada jam 7.42 malam.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform X pada 14 Julai, Rapid KL mengesahkan kejadian itu berpunca daripada masalah teknikal melibatkan satu komponen tren yang bersentuhan dengan konduktor bekalan kuasa.
Sentuhan itu menyebabkan bunyi letupan kecil serta percikan api berlaku.
Rapid KL memaklumkan tren yang terlibat segera dikeluarkan daripada perkhidmatan, manakala semua penumpang diminta turun di stesen berikutnya sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren lain.
Tiada kecederaan dilaporkan dan operasi di Laluan Shah Alam diteruskan seperti biasa.
Tren tersebut kemudian dibawa ke depoh untuk menjalani pemeriksaan terperinci.
Komponen yang bermasalah telah diganti, dan tren hanya dibenarkan beroperasi semula selepas pemeriksaan mengesahkan ia selamat digunakan.
Rapid KL turut memaklumkan bahawa pemeriksaan serta pemantauan ke atas tren-tren lain turut dijalankan sebagai langkah berjaga-jaga.



