Penyanyi dan pempengaruh Haoren, membuat permohonan maaf secara terbuka selepas klip video yang memperlihatkan dia membuat rakaman video rakan-rakannya ketika lagu kebangsaan dimainkan pada acara ‘8TV CUCKOO Starfluencer Awards 2025’ baru-baru ini tular di media sosial.
Video tersebut memaparkan Haoren secara bersahaja merakam rakan-rakannya ketika lagu Negaraku dimainkan, yang kemudiannya mengundang kritikan netizen kerana dianggap tidak menghormati lagu kebangsaan.
Dalam satu kenyataan di Facebook yang dimuat naik pada 10 Ogos, Haoren mengakui tindakannya itu tidak sesuai dari segi masa dan etika serta menambah yang dia sepatutnya menyanyikan lagu kebangsaan dengan penuh rasa hormat.
“Saya amat kesal dengan ketidakselesaan yang telah ditimbulkan oleh kelakuan tidak matang saya kepada orang ramai,” tulisnya.
Penyanyi itu menjelaskan bahawa dia memahami yang lagu kebangsaan bukan sahaja sebagai simbol Malaysia, tetapi juga membawa makna sejarah dan emosi yang mendalam buat semua rakyat.
Haoren menjelaskan yang dia telah benar-benar bermuhasabah mengenai insiden tersebut dan berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membawa diri di acara rasmi dan umum pada masa akan datang.
“Saya dengan tulus berterima kasih kepada orang ramai atas peringatan dan pemahaman yang diberikan.
“Sekali lagi, saya memohon maaf setulus hati kepada semua rakan yang mengambil berat tentang saya atas kesulitan yang telah berlaku,” tambahnya.