Bill Gates Akui Pernah Ada 2 Kekasih Gelap Rusia, Mohon Maaf Kepada Staf Yayasan Atas Hubungan Dengan Jeffrey Epstein

Bill Gates mengakui pernah menjalinkan dua hubungan sulit dengan wanita Rusia dan memohon maaf kepada kakitangan Gates Foundation atas hubungannya dengan Jeffrey Epstein, menurut laporan The Wall Street Journal.
Dalam satu sesi pertemuan dalaman (town hall) pada 24 Februari, pengasas bersama Microsoft itu mengakui hubungan berkenaan, yang menurutnya kemudian diketahui oleh Epstein. Gates menegaskan bahawa hubungan tersebut tidak melibatkan mana-mana mangsa Epstein dan menyatakan yang dia tidak melakukan apa-apa yang menyalahi undang-undang.
Salah seorang wanita berkenaan merupakan pemain bridge dari Rusia yang ditemuinya di acara bridge, manakala seorang lagi ialah ahli fizik nuklear Rusia yang dikenalinya melalui urusan perniagaan.
Gates berkata, bekas penasihat sainsnya, Boris Nikolic, yang mempunyai kaitan dengannya dan Epstein mengetahui mengenai hubungan tersebut dan telah memaklumkannya kepada Epstein.
Menurut laporan itu, Epstein kemudiannya menggunakan maklumat tersebut untuk mencampuri urusan berkaitan peletakan jawatan Nikolic dari pejabat peribadi Gates dan didakwa cuba memberi tekanan kepada Gates berhubung kecurangannya.
Fail yang baru didedahkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat turut mengandungi e-mel yang dihantar Epstein kepada dirinya sendiri pada 2013, mendakwa Gates mempunyai hubungan luar nikah dengan wanita Rusia. E-mel itu dilaporkan ditulis seolah-olah surat peletakan jawatan daripada Nikolic, yang menafikan menulis atau memintanya dibuat.
Fail tersebut juga mengandungi dakwaan Gates dijangkiti penyakit kelamin dan cuba menyembunyikannya. Tuduhan itu dinafikan oleh jurucakapnya sebagai sangat tidak masuk akal dan tidak benar.
Dokumen lain termasuk gambar Gates bersama beberapa wanita yang sebahagiannya telah dipadam, yang menurutnya diambil atas permintaan Epstein selepas mesyuarat. Gates menjelaskan dia tidak pernah meluangkan masa bersama mana-mana mangsa Epstein dan menyifatkan hubungannya dengan Epstein sebagai satu kesilapan besar.
Gates mula bertemu Epstein pada 2011 dan meneruskan interaksi sehingga 2014, walaupun bekas isterinya, Melinda French Gates, ketika itu telah menyuarakan kebimbangan. Pasangan itu berpisah pada 2021 selepas 27 tahun berkahwin.
Dalam satu temu bual baru-baru ini, Melinda berkata, pendedahan fail Epstein mengembalikan kenangan yang menyakitkan dan bahawa Gates masih mempunyai persoalan yang perlu dijawab.
Dalam sesi town hall tersebut, Gates mengakui keputusannya untuk terus bertemu Epstein, yang pernah disabitkan kesalahan jenayah seks terhadap kanak-kanak pada 2008, merupakan satu kesilapan besar. Katanya, dengan apa yang diketahuinya sekarang, situasi itu terasa seratus kali lebih teruk.
Dia turut mengakui hubungannya dengan Epstein, termasuk menaiki penerbangan bersama dan menghadiri mesyuarat di beberapa bandar, telah mencemarkan reputasi Gates Foundation dan bercanggah dengan nilai yayasan itu.
Jurucakap yayasan memaklumkan Gates bercakap secara terbuka kepada kakitangan dan bertanggungjawab atas tindakannya.
Sumber: Mothership



