Berkemban Dalam Video Muzik Serumpun, Mimi Fly Mohon Maaf

PENYANYI Mimi Fly memohon maaf jika busana yang disarungkan dalam video muzik bagi lagu raya Serumpun baru-baru ini menyinggung perasaan orang ramai.

Menurut Mimi, dia tidak berniat untuk mencipta sebarang kontroversi dan mengakui berlapang dada menerima kritikan dan respons pelbagai untuk klip video yang dibintanginya.

“Saya terima segala komen dan kalau ada yang tersinggung dengan karya saya, saya minta maaf. Insya-Allah kalau buat lagu raya lain saya akan perbaiki.

“Bukan niat saya. Ketika ini saya sangat obses dengan karya saya sendiri. Mungkin saya terlalu fokus kepada karya itu sehingga tolak tepi perkara lain.

“Saya sudah lama menyepi, bila muncul kembali saya mula belajar semula dari mana keturunan saya. Yang mana saya ada darah serumpun dalam badan campuran Minang, Indonesia, Vietnam, dan Thailand,” katanya.

Menurut anggota kumpulan One Nation Emcees itu, busana yang dipilih diinspirasikan daripada busana orang zaman dahulu.

“Saya cuma rasa busana yang saya kenakan itu cantik dan selesa. Saya lama intai busana orang-orang lama jadi saya suka. Saya bukan buat seorang tetapi berkerjasama dengan pereka fesyen yang hebat iaitu Abu Shaef Hamza. Dia seorang profesional, kami belajar sama-sama mengenai sejarah baju orang lama.

“Saya lihat gambar dan jadi saya seronok. Saya nak raikan busana-busana kita sebenarnya. Saya bukan sengaja nak cipta sensasi, saya cuma obses dengan karya saya,” katanya seperti dilaporkan MStar.

Mimi bagaimanapun mengakui gembira walaupun menerima kritikan, memandangkan lagu dendangannya mendapat perhatian umum.

“Jadi saya terima semuanya dan terima kasih komen serta kritikan, saya akan perbaiki selepas ini,” katanya lagi.

Mimi sebelum ini menerima kecaman yang teruk selepas tampil dengan hanya berkemban dalam video muzik Serumpun yang dilancarkan pada minggu.

Rata-rata penonton menyatakan rasa kurang senang dengan penampilan Mimi memandangkan sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan sambutan kemenangan selepas 30 hari menjalani ibadah puasa.

Related post

Leave a Reply