
Bella Astillah Mohon Maaf Promosi Produk Tersenarai Boikot Israel
Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, 31, tampil memohon maaf selepas menerima kritikan hebat gara-gara didakwa mempromosikan jenama yang termasuk dalam senarai kempen boikot produk berkaitan Israel.
Pemilik nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, berkata, dia memahami sepenuhnya perasaan serta kemarahan rakyat Malaysia terhadap kekejaman rejim Zionis yang semakin berleluasa.
“Saya faham perasaan rakyat Malaysia sekarang dan saya tidak salahkan mereka 100 peratus. Kalau saya berada di tempat mereka, mungkin saya juga akan bertindak sama.
“Saya sebagai manusia biasa mohon maaf atas segala kekurangan dan kesilapan. Saya akan sentiasa cuba memperbaiki diri.
“Apa yang buruk datang daripada saya, dan yang baik semuanya daripada Allah SWT,” katanya.
Menurut ibu dua anak itu, dia sendiri turut berasa sebak dengan apa yang berlaku di Palestin, lebih-lebih lagi memikirkan beberapa rakan artis yang terlibat secara langsung dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
“Antara aktivis GSF yang rapat dengan saya termasuk Zizi Kirana dan Datin Sri Heliza Helmi, jadi saya amat memahami perasaan mereka dan turut terkesan dengan perjuangan yang sedang mereka lakukan,” ungkapnya.
Mengulas lanjut, Bella menjelaskan segala urusan kerja termasuk promosi produk dan jenama tertentu dikendalikan oleh pihak pengurusannya.
“Semua kerja promosi diatur oleh pihak pengurusan. Namun selepas isu ini timbul, saya segera berbincang dengan mereka untuk menangguhkan semua hantaran di media sosial buat sementara waktu, dan mereka juga memahami situasi ini,” jelasnya.
Tambah Bella, ketika isu tersebut mula tular, dia sebenarnya berada di Indonesia atas urusan kerja. Walau bagaimanapun, tetap mengikuti perkembangan semasa dan berusaha menghubungi rakan-rakan yang sedang bertugas dalam misi kemanusiaan tersebut.
“Walaupun berada di luar negara, saya tetap peka dengan apa yang berlaku dan sentiasa mendoakan keselamatan semua sukarelawan yang berjuang di sana,” katanya lagi.