Bang Si Hyuk Dituduh Raih Untung Besar Guna BTS Sebagai Jaminan Pelaburan

Seorang YouTuber mendakwa Pengerusi HYBE, Bang Si Hyuk menggunakan kumpulan BTS sebagai ‘cagaran’ untuk mendapatkan keuntungan tidak adil bernilai ratusan juta won Korea.
YouTuber yang mengendalikan saluran K-Enter BigHit Archive itu mengadakan sidang media bersama wakil guaman bagi mendedahkan apa yang didakwanya sebagai aktiviti haram serius dalam pengurusan dan transaksi modal syarikat HYBE pada 6 Mac lalu di Mapo-gu, Seoul, Korea Selatan.
Dikenali sebagai A, Youtuber itu mendakwa, pada Mei 2015, Signal Entertainment Group memperoleh bon boleh tukar bernilai 6 bilion won (RM17.74 juta) yang diterbitkan oleh HYBE. Pada ketika itu, Bang Si Hyuk memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif HYBE dan juga pengarah dalaman, yang menurutnya menimbulkan konflik kepentingan yang jelas.
Menurut A, sekiranya Signal melaksanakan hak penukaran bon tersebut ketika HYBE mengalami pertumbuhan pesat pada 2016, syarikat itu berpotensi memperoleh kira-kira 31.58 peratus saham HYBE dan menjana keuntungan bernilai ratusan bilion won. Namun, Signal didakwa memilih untuk tidak menukarkan bon tersebut dan hanya menerima bayaran balik prinsipal lebih awal, keputusan yang disifatkan sebagai tidak rasional.
A turut mendakwa Bang menggunakan BTS untuk memudahkan tindakan tersebut. Katanya, pada 26 Mei 2016, HYBE menerbitkan saham keutamaan boleh tukar kepada beberapa entiti tujuan khas seperti Weblink dengan jaminan pulangan kompaun tahunan sebanyak lapan peratus.
Perjanjian tersebut juga didakwa mengandungi klausa sebelah pihak yang menyatakan, sekiranya mana-mana ahli BTS meninggalkan kumpulan itu, kecuali kerana kematian, bayaran balik boleh dituntut serta-merta. Menurut A, tindakan itu seolah-olah menggunakan artis utama syarikat sebagai ‘cagaran’ bagi melindungi kepentingan peribadi dan kuasa pengurusan Bang.
Menurut dakwaan tersebut, ketika BTS mula mencapai kejayaan global pada 2016, HYBE merekodkan pendapatan sebanyak 35.5 bilion won (RM94.4 juta) dan keuntungan operasi sekitar 10 bilion won (RM26.5 juta). Walaupun syarikat menunjukkan pertumbuhan positif, HYBE didakwa tetap menerbitkan saham boleh tukar dengan syarat yang lebih memihak kepada Weblink berbanding mendapatkan pelaburan melalui kaedah biasa.
A juga mendakwa langkah itu diambil bagi menghapuskan ancaman terhadap kawalan pengurusan Bang daripada Signal yang memiliki kira-kira 31 peratus bon boleh tukar. Akibatnya, dia didakwa menyebabkan kerugian kepada pemegang saham minoriti sambil memberi peluang kepada Weblink meraih keuntungan pasaran bernilai berbilion won.
Selain itu, Bang turut dituduh mengelirukan pelabur termasuk firma modal teroka dengan menyatakan bahawa HYBE tidak merancang untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO). Namun pada masa sama, syarikat itu didakwa sedang membuat persiapan IPO secara senyap. Pelabur yang mempercayai kenyataan tersebut menjual saham mereka kepada dana ekuiti persendirian yang dikaitkan dengan kenalan Bang.
Selepas IPO dilaksanakan, dana tersebut menjual sejumlah besar saham HYBE. Bang dilaporkan memperoleh kira-kira 200 bilion won (RM531 juta) daripada keuntungan transaksi itu.
Sekiranya transaksi penipuan seperti ini terbukti benar, ia boleh membawa hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun atau penjara seumur hidup jika keuntungan atau kerugian yang dielakkan melebihi lima bilion won. Denda pula boleh mencecah tiga hingga lima kali ganda jumlah keuntungan haram.
Jika jumlah dakwaan keuntungan haram sebanyak 400 bilion won (RM1 billion) diambil kira, jumlah denda berpotensi mencecah sekurang-kurangnya 1.2 trilion won (RM3.1 billion).
Baru-baru ini, Bang dilaporkan menghadiahkan 711,534 saham HYBE, bersamaan 1.65 peratus pegangan syarikat, yang bernilai kira-kira 270 bilion won (RM718 juta). HYBE mengesahkan syarikat itu akan memperoleh 546,120 saham tersebut sebagai saham perbendaharaan tanpa pengeluaran tunai tambahan, manakala baki 165,414 saham diberikan kepada individu lain.
Pegangan Bang dalam syarikat itu akan berkurang daripada 30.55 peratus kepada 28.90 peratus, namun beliau masih kekal sebagai pemegang saham terbesar. HYBE menyatakan bahawa pemberian saham tersebut bertujuan membiayai ganjaran prestasi pekerja.
Menjawab kritikan mengenai masa pendedahan dakwaan tersebut yang dibuat menjelang kemunculan semula penuh kumpulan BTS, A berkata bahawa dia tidak berniat untuk mengganggu aktiviti kumpulan itu.
“Saya tiada niat untuk mengganggu aktiviti BTS. Tujuan saya hanyalah memastikan tindakan Bang Si Hyuk disiasat secara menyeluruh,” katanya.
Sumber: Allkpop



