Balas ‘Okiess’ Kepada Bos, Pekerja Gen Z Dimarah Kerana Tidak Profesional

Satu balasan ringkas di tempat kerja telah mencetuskan perbincangan mengenai etika komunikasi profesional dan perbezaan cara generasi berkomunikasi.
Seorang pekerja Gen Z baru-baru ini berkongsi pengalaman dimarahi oleh majikannya selepas membalas mesej kerja dengan perkataan ‘okiess’ berbanding ‘okay’.
Menurut laporan mStar, wanita itu berkata bosnya sedang bercuti sehari sebelum kejadian, namun tetap menghantar mesej menerusi WhatsApp untuk meminta bantuannya menyelesaikan satu tugasan.
“Kami ni Gen Z. Bos saya cuti semalam, tapi dia WhatsApp minta tolong buat sesuatu.
Jadi saya balas ‘okiess’, maksudnya okay,” tulisnya.
Namun, balasan santai itu ternyata tidak disenangi oleh majikannya.
Menurutnya, sebaik sahaja bos kembali ke pejabat pada keesokan hari, dia ditegur mengenai cara membalas mesej berkenaan.
“Dia cakap lepas ni balas je ‘okay’. Dia kata ini tempat kerja, bukan tempat bergurau dengan kawan,” katanya lagi.
Wanita itu turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap insiden tersebut sehingga menyifatkan bosnya sebagai daripada generasi dinosaur.
Istilah itu sering digunakan secara berseloroh untuk merujuk kepada golongan yang lebih berusia dan dikatakan kurang memahami tabiat, bahasa slanga atau gaya komunikasi dalam talian yang sering digunakan oleh generasi muda.
Perkongsian itu sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai jurang generasi di tempat kerja, khususnya apabila pekerja muda lebih selesa menggunakan bahasa yang santai dalam komunikasi digital, manakala majikan pula mengharapkan penggunaan bahasa yang lebih formal dalam urusan profesional.



