Ara Johari Pertaruh Zapin Malam Raya

MAHU tampil berbeza dan dilihat lain daripada yang lain telah memberikan idea kepada penyanyi Ara Johari, 27, untuk menghasilkan Zapin Malam Raya sebagai buah tangan terbaharu untuk pendengar.

Seperti kebanyakan penyanyi lain yang berlumba-lumba mengeluarkan lagu lebaran sejak awal Ramadan yang lalu, Ara juga tidak mahu ketinggalan tahun ini. Bezanya, ada sisi lain yang mahu ditonjolkan melalui naskhah kali ini.

“Sebenarnya memang ada rancangan nak keluar lagu raya tahun ini tapi belum jumpa demo yang sesuai dan proses pencarian yang begitu panjang. Dalam pada sedang mencari-cari, saya bertemu dengan pencipta lagi ini.

“Alhamdulillah, hasil perbincangan singkat itu dan beberapa penambah baikkan yang dilakukan, maka terhasillah lagu ini,” ujarnya yang teruja dengan kerjasama bersama Affan Mazlan dan Syafiq Al Gambus yang bertindak selaku pencipta lagu ini.

Menerusi Zapin Malam Raya, Ara bergandingan bersama kumpulan pelawak dari Pantai Timur, Trio Latah sebagai penyanyi undangan dan menganggap kerjasama kali ini begitu menarik.

Lagu ini turut mengetengahkan keunikan dialek Negeri Sembilan dan Kelantan, yang menjadikan penceritaan lebih menarik dan jarang diangkat oleh kebanyakan pengkarya sebelum i i.

“Ini kali pertama saya bawakan lagu berirama Malaysia. Mungkin kedengaran sedikit berlainan dengan suara saya yang biasa dengan lagu rock.

“Saya juga teruja apabila lagu ini menyelitkan dialek Negeri Sembilan dan Kelantan. Pastinya gandingan kedua-dua dialek ini memberikan nilai tambah kepada Zapin Malam Raya.

“Kisah yang diangkat juga mudah difahami berkisahkan tentang seorang suami yang teruja apabila tiba giliran balik raya ke kampungnya,” tambahnya lagi.

Lagu Zapin Malam Raya diedarkan oleh Universal Music Malaysia dan sudah berada disemua pelantar digital mulai 19 Mac lalu.

Related post

Leave a Reply