
Pelakon, Amyza Aznan, 51, sekali lagi berdepan ujian besar apabila anak keduanya, Adrian Adam, disahkan menghidap kanser tulang.
Berita menyayat hati itu diterima pada 1 Ramadan yang juga jatuh pada bulan Februari iaitu bulan kelahiran anak-anaknya.
Situasi berkenaan seakan mengulang detik sama yang dilalui tahun lalu apabila anak sulungnya, Andre Mikhail turut disahkan menghidap kanser paru-paru pada bulan sama.
Menerusi perkongsian di Threads, Amyza memaklumkan bahawa Ramadan tahun ini hadir bersama satu lagi dugaan berat buat keluarganya.
“Hari ini Ramadan pertama, di bulan Februari, bulan kelahiran anak-anak saya.
“Sama yang berlaku tahun lepas, bulan Ramadan dan pada bulan kelahiran anak saya Andre Mikhail disahkan kanser paru-paru.
“Tahun ini, pada bulan Ramadan dan Februari, bulan kelahiran anak saya Adrian Adam pula disahkan kanser tulang,” kongsinya.
Sebagai seorang ibu, Amyza mengakui sukar untuk menggambarkan perasaannya apabila sekali lagi diuji dengan masalah kesihatan anak.
“Saya manusia dan juga ibu, ada berbagai rasa tapi tak terluah dan takut untuk meluah,” luahnya.
Terdahulu, Andre dimasukkan ke Hospital Ampang selepas doktor mengesan ketumbuhan pada bahagian paru-parunya sebelum disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga.
Kini, Amyza sekali lagi perlu menguatkan semangat apabila anak keduanya pula menerima diagnosis kanser tulang.



