Aisha Retno Nafi Pengsan Akibat Gangguan Mistik

Aisha Retno Nafi Pengsan Akibat Gangguan Mistik

Penyanyi Aisha Retno, 25, menolak dakwaan insiden dirinya pengsan ketika membuat persembahan pada malam Grand Finale program Talk To My Manager (TTMM) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), baru-baru ini berpunca daripada gangguan mistik.

Sebaliknya pemilik nama sebenar Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam menjelaskan, kejadian itu berlaku disebabkan kepenatan melampau serta kekurangan tenaga selepas menjalani pelbagai aktiviti tanpa rehat mencukupi.

“Saya sudah banyak kali membuat persembahan di tempat itu dan semuanya baik-baik sahaja sebelum ini. Cuma kali ini saya memang terlalu penat dan makan pun agak lewat.

“Mungkin juga suasana yang sesak dengan ramai orang memberi kesan kepada serangan panik. Itu sahaja yang boleh saya katakan. Selain daripada itu, seperti perkara mistik, Alhamdulillah setakat ini tiada,” katanya.

Menurut pelantun lagu Sutera itu lagi, dia lebih selesa melihat kejadian tersebut dari sudut perubatan saintifik dan tidak mahu mengaitkannya dengan unsur mistik.

“Saya tak berani nak ulas soal gangguan mistik sebab sejujurnya saya tak pernah diganggu sebelum ini. Tapi memang ada juga pihak yang beritahu mungkin ada ‘benda’ begitu.

“Saya tak teruskan siasatan kerana percaya ia hanya berlaku seketika. Saya lebih yakin pengsan itu berpunca daripada kepenatan, jadi saya ambil keputusan untuk berehat dan jaga kesihatan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Aisha turut memaklumkan keadaan kesihatannya kini semakin baik selepas mendapat rehat yang mencukupi.

“Saya kini sihat. Sejujurnya, sepanjang 25 tahun hidup saya tak pernah nampak apa-apa yang pelik. Tapi kali ini saya cepat pulih sebab ibu dan ayah sentiasa di sisi.

“Saya memang ada sejarah mengalami serangan panik. Ia bukan sesuatu yang boleh hilang sepenuhnya, tapi kini saya tahu cara mengawalnya,” katanya.

Menurutnya lagi, kejadian itu memberi pengajaran penting untuk lebih menjaga kesihatan fizikal dan mental, terutama dalam bidang hiburan yang menuntut komitmen tinggi.

“Saya sedar ramai dalam industri ini juga berdepan serangan panik. Jadi saya perlu lebih berhati-hati sebab bimbang boleh menjejaskan kerja.

“Terima kasih kepada semua yang ambil berat. Alhamdulillah, saya sudah semakin baik dan kembali aktif. Semoga Allah sentiasa melindungi.

“Doktor juga selalu ingatkan saya supaya jaga kesihatan dan pemakanan. Kadang-kadang kita lupa dua perkara asas itu dalam kehidupan,” ujarnya.

Terdahulu, Aisha dilaporkan mengalami serangan panik sebaik selesai membuat persembahan bersama finalis TTMM, Marsya yang juga anak kepada penyanyi terkenal Liza Hanim.

Kejadian itu menyebabkan Aisha sukar bernafas serta mengalami kekejangan pada tangan dan kaki sebelum dibantu oleh petugas perubatan di lokasi.

Related post

Leave a Reply