
Penyanyi, Fauziah Latiff, 55, memohon maaf kepada para peminat kerana terpaksa menunggu hampir empat dekad sebelum akhirnya dapat menyaksikan dia beraksi dalam sebuah konsert solo.
Selepas 40 tahun bergelar anak seni, Fauziah bakal merealisasikan impian peminat menerusi konsert 4 Decades Fauziah Latiff yang dijadual berlangsung pada 9 Mei 2026 di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), anjuran Ideatelier.
Pemilik nama lengkap Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff mengakui sifatnya yang cerewet dan terlalu menitikberatkan kualiti menjadi antara faktor utama dia mengambil masa lama sebelum bersetuju menganjurkan konsert berskala besar.
“Saya minta maaf banyak-banyak kerana ambil masa yang lama. Saya takut tak dapat memuaskan hati semua peminat.
“Setiap kali ada tawaran konsert, saya rasa takut sebab konsert ini satu tanggungjawab besar. Ia bukan melibatkan diri saya seorang saja, tetapi semua pihak termasuk komposer dan pemuzik,” katanya.
Menurut pelantun lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu, pertemuan bersama penganjur, Ezuwan Ismail, menjadi titik perubahan apabila dia melihat kesungguhan dan perancangan terperinci yang dibentangkan.
“Bila Ezuwan datang dan bentangkan idea, sejujurnya saya terkedu. Dia datang dengan perancangan yang lengkap dan tersusun.
“Selepas itu saya ambil masa berfikir sampai tak dapat tidur malam. Bila difikirkan semula, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya membalas jasa peminat yang membesar dengan lagu-lagu saya,” ujarnya.
Ditanya sama ada pernah timbul rasa ralat kerana hanya mengadakan konsert solo selepas 40 tahun, Fauziah menegaskan perkara itu tidak pernah bermain di fikirannya.
“Sejujurnya, saya tak pernah rasa ralat menunggu selama 40 tahun untuk mengadakan konsert solo.
“Wallahi, rasa takut itu memang ada. Walaupun saya ambil masa yang singkat untuk bersetuju, ketakutan itu datang kerana memikirkan tanggungjawab besar yang perlu dipikul,” katanya.
Bagaimanapun, Fauziah percaya pengalaman jatuh bangun sepanjang karier seninya memberi kekuatan untuk menerima cabaran tersebut.
“Bila fikir semula, saya dah lalui pelbagai pengalaman. Jadi saya rasa sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya terima cabaran ini.
“Konsert ini juga sebagai tanda balasan kepada peminat atas sokongan dan kerana membesar dengan lagu-lagu saya,” jelasnya lagi.
Konsert 4 Decades Fauziah Latiff bakal menampilkan rangkaian lagu ikonik yang menjadi tanda aras perjalanan seni beliau, antaranya Dia, Sekali Ini Saja, Teratai Layu Di Tasik Madu, Setia Ku Korbankan, Menanti Di Ambang Syurga, selain beberapa kejutan eksklusif yang akan diumumkan kelak.



