FoodsGaya HidupUncategorized

Minum Bubble Tea Dua Cawan Sehari, Wanita Ini Perlu Dialisis Seumur Hidup

Gara-gara minum dua cawan bubble tea setiap hari selama bertahun-tahun, seorang wanita dari Taiwan terpaksa menjalani dialisis seumur hidup selepas buah pinggangnya gagal berfungsi sepenuhnya.

Menurut laporan ETtoday, rutin minum bubble tea merupakan cara wanita itu, yang bekerja dalam tempoh yang panjang untuk melepaskan tekanan.

Sebelum mendapat tahu mengenai masalah kesihatannya, dia mengalami pembengkakan pada wajah sejak enam bulan lalu. Begitupun dia menganggap ia berpunca daripada berjaga lewat malam.

Segalanya berubah apabila dia mengalami masalah kesukaran bernafas ketika bekerja lebih masa di pejabat dan rakan sekerjanya segera membawanya ke jabatan kecemasan hospital.

Seorang pakar buah pinggang yang merupakan ketua doktor pada ketika itu menyedari fungsi buah pinggang wanita tersebut telah gagal sepenuhnya selepas meneliti laporan ujian darah.

Doktor tersebut kemudian memaklumkan kepada ibu wanita itu bahawa indeks uremianya berada pada tahap yang sangat tinggi sehingga menyebabkan edema paru-paru.

Wanita itu kemudian terpaksa menjalani intubasi dan dialisis kecemasan dengan segera atau nyawanya berada dalam bahaya.

Mendengar berita itu, wajahnya bertukar menjadi pucat, manakala dia dan ibunya menangis teresak-esak di koridor jabatan kecemasan.

Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati wanita itu mengalami proteinuria sejak bertahun-tahun lalu, iaitu keadaan di mana terdapat protein dalam air kencing.

Pakar buah pinggang itu menambah, keadaan ini berkemungkinan disebabkan oleh glomerulonefritis kronik, sejenis penyakit buah pinggang.

Digabungkan dengan tabiat berjaga lewat malam dan pengambilan minuman manis berlebihan selama bertahun-tahun, wanita itu kini memerlukan dialisis seumur hidup, lapor ETtoday.

Related Articles

Back to top button