Gaya HidupTrending

“Saya Berhijab Kerana Mahu Rasa Diri Mahal”

Pelakon, Amyza Aznan, 50, menjelaskan keputusan untuk berhijab sejak Oktober tahun lalu hadir tanpa dirancang, sebaliknya berlaku secara spontan sebagai satu bentuk hidayah.

Menurut Amyza, keputusan untuk bertudung tidak didorong oleh mana-mana individu atau peristiwa tertentu, malah berlaku dalam sekelip mata tanpa pernah terlintas di fikirannya sebelum itu.

“Tiada siapa yang mendorong. Bila Allah SWT berkehendak, perkara itu boleh berlaku dalam satu saat. Saya sendiri mengalaminya.

“Hari sebelumnya langsung tak terfikir untuk bertudung, tetapi keesokannya perkara itu berlaku begitu sahaja,” katanya.

Menepis tanggapan kononnya penghijrahan itu berpunca daripada tekanan hidup atau dugaan yang pernah dilalui, Amyza menjelaskan keputusannya dibuat atas sebab yang lebih peribadi dan mendalam.

“Saya berhijab bukan kerana ujian atau dugaan. Tidak. Saya buat keputusan ini kerana mahu rasa diri itu ‘mahal’. Anak-anak juga nampak saya sebagai seorang ibu yang ‘mahal’,” katanya.

Bagaimanapun, Amyza memilih untuk tidak berkongsi secara terperinci detik sebenar yang menjadi titik perubahan hidupnya itu kerana bimbang disalah tafsir dan mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.

“Saya tak mahu kongsikan terlalu banyak sebab takut timbul salah faham atau perbalahan. Sekarang masing-masing ada pandangan sendiri, jadi lebih baik saya simpan saja,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Amyza mengakui hatinya tersentuh dan bersyukur dengan perubahan yang berlaku dalam hidupnya kini.

“Saya sendiri tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan ini. Cuma apa yang saya tahu, Allah sangat menyayangi saya,” katanya dengan nada sebak.

Keputusan tersebut turut mendapat sokongan penuh daripada anak-anaknya yang meluahkan rasa gembira melihat penampilan baharu ibu mereka.

Menjawab persoalan mengenai kerjaya seni, Amyza menegaskan penghijrahannya itu sama sekali tidak menjejaskan perjalanan seninya yang telah dibina sejak sekian lama.

“Alhamdulillah, selepas berhijab tawaran kerja masih ada dan berterusan. Soal batasan pula, sebenarnya sebelum bertudung lagi saya memang sudah menjaga batas dalam lakonan.

“Kalau ada adegan kasar yang benar-benar diperlukan barulah dilakukan. Tetapi sekarang, selepas berhijab, semuanya jadi lebih mudah dan lancar,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button