
Pemuzik terkenal kumpulan Armada, Rizal, kini sedang melalui detik sukar apabila bayi perempuan yang sekian lama dinanti-nantikan dilaporkan meninggal dunia ketika masih di dalam kandungan.
Hasrat untuk menyambut bayi yang bakal diberi nama Gameela itu terpaksa ‘dinoktahkan’ apabila disahkan meninggal dunia ketika usia kandungan mencecah tujuh bulan.
“Telah meninggal anak ke-4 kami, Gameela Az Zahra Putri Pradana binti Tsandy Rizal Adi Pradana. Meninggal dunia dalam kandungan usia 7 bulan,” tulis Rizal menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.
Lebih menyentuh perasaan, Rizal turut memuat naik gambar imbasan ultrasound Gameela dengan latar belakang Masjid Nabawi di Madinah, sekali gus mengundang rasa sebak dalam kalangan peminat dan rakan selebriti yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan takziah serta doa.
Rumah tangga Rizal Armada bersama isterinya, Monica Imas, sebelum ini dikenali sebagai bahagia dan jauh daripada sebarang gosip panas.
Pasangan ini sah bergelar suami isteri pada 28 Jun 2018 dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung di Solo, Jawa Tengah.
Menerusi perkahwinan tersebut, Rizal Armada atau nama sebenarnya Tsandi Rizal Adi Pradana telah dikurniakan tiga orang anak lelaki.



