GlobalUncategorizedViral

Dedah Punca Sebenar, Brooklyn Beckham Putus Hubungan Dengan Keluarga

Konflik melibatkan keluarga Beckham terus mencuri perhatian umum apabila Brooklyn Beckham, anak sulung kepada pasangan selebriti terkenal David dan Victoria Beckham, didakwa memutuskan hubungan dengan keluarganya sendiri.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Brooklyn, 26, mendakwa sudah tiba masanya untuk mendedahkan kisah sebenar di sebalik pelbagai dakwaan yang dibuat oleh ibu bapanya, yang disifatkannya sebagai pembohongan.

“Saya telah berdiam diri selama bertahun-tahun dan berusaha sedaya upaya untuk memastikan perkara ini kekal bersifat peribadi,” tulisnya.

Bagaimanapun, Brooklyn mendakwa ibu bapanya bersama pasukan mereka terus membawa isu berkenaan ke media, sekali gus memaksanya tampil bersuara bagi mempertahankan diri.

“Malangnya, ibu bapa saya dan pasukan mereka terus menyebarkan isu ini kepada media, menyebabkan saya tidak mempunyai pilihan selain bersuara dan mendedahkan kebenaran mengenai sebahagian daripada pembohongan yang diterbitkan.

“Saya tidak mahu berdamai semula dengan keluarga saya. Saya tidak dikawal oleh sesiapa. Buat pertama kali dalam hidup, saya berdiri mempertahankan diri sendiri,” ujarnya.

Menurut Brooklyn, sepanjang hidupnya ibu bapanya mengawal sepenuhnya naratif media berkaitan keluarga mereka.

Paparan media sosial yang bersifat lakonan, majlis keluarga serta hubungan yang ‘palsu’ sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya sejak dilahirkan.

Brooklyn membuat kenyataan menerusi akaun Instagram Story miliknya.

Beliau turut mendakwa menyaksikan sendiri sejauh mana ibu bapanya sanggup menyebarkan pembohongan demi mengekalkan imej.

“Baru-baru ini, saya melihat sendiri bagaimana mereka menyebarkan pelbagai pembohongan di media, kebanyakannya dengan mengorbankan individu yang tidak bersalah. Namun, saya percaya kebenaran akhirnya akan terserlah,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Brooklyn turut mendakwa ibu bapanya cuba merosakkan hubungannya dengan isterinya, Nicola Peltz, sejak sebelum perkahwinan mereka.

“Ibu saya membatalkan penyediaan gaun perkahwinan Nicola pada saat-saat akhir walaupun Nicola begitu teruja untuk mengenakannya, sekali gus memaksanya mencari gaun baharu dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya.

Beliau juga mendakwa beberapa minggu sebelum majlis perkahwinan, ibu bapanya berulang kali menekannya supaya menandatangani perjanjian melepaskan hak terhadap namanya sendiri.

“Mereka berkeras mahu saya menandatangani perjanjian itu sebelum tarikh perkahwinan kerana terma tersebut akan berkuat kuasa sebaik sahaja ditandatangani,” jelasnya.

Menurut Brooklyn, keengganannya berbuat demikian menjejaskan bayaran yang diharapkan oleh ibu bapanya dan sejak itu layanan terhadapnya berubah.

Brooklyn turut mendedahkan bahawa malam sebelum perkahwinan, ahli keluarganya menyatakan Nicola ‘bukan darah daging’ dan ‘bukan keluarga’.

“Sejak saya mula mempertahankan diri, saya menerima serangan tanpa henti daripada ibu bapa saya, sama ada secara peribadi atau terbuka melalui media,” katanya.

Beliau turut mendakwa adik-beradik lelakinya diarahkan menyerangnya di media sosial sebelum menyekatnya pada musim panas lalu.

Hubungan antara mereka mengundang pelbagai spekulasi sejak Brooklyn berkahwin.

Anak sulung daripada empat beradik itu juga mendakwa isterinya sering dilayan dengan tidak hormat oleh keluarganya, meskipun mereka berusaha untuk mengekalkan hubungan kekeluargaan.

“Ibu saya juga berulang kali mengundang wanita daripada masa lalu saya ke dalam kehidupan kami dengan niat yang jelas untuk menimbulkan rasa tidak selesa,” katanya.

Brooklyn dan Nicola turut mendakwa dipinggirkan ketika pulang ke London bagi meraikan hari lahir David Beckham.

“Kami dipinggirkan selama seminggu di hotel sambil cuba merancang masa berkualiti bersamanya. Semua usaha kami ditolak kecuali jika ia berlangsung di majlis besar dengan ratusan tetamu dan kamera di setiap penjuru,” jelasnya.

Lebih mengecewakan, Brooklyn mendakwa pertemuan yang akhirnya dipersetujui dibuat dengan syarat Nicola tidak dijemput.

“Itu benar-benar satu penghinaan,” katanya.

Brooklyn dan Nicola kini menetap di Amerika Syarikat sejak berkahwin pada 2022. Menjawab dakwaan bahawa isterinya mengawal dirinya, Brooklyn menegaskan perkara itu tidak benar.

“Hakikatnya, saya yang dikawal oleh ibu bapa saya dan membesar dengan keresahan melampau. Buat pertama kali dalam hidup, sejak menjauhkan diri daripada keluarga saya, keresahan itu hilang,” kongsinya.

Brooklyn menegaskan beliau dan isterinya tidak menginginkan kehidupan yang dibentuk oleh imej, liputan media atau manipulasi.

“Apa yang kami inginkan hanyalah keamanan, privasi dan kebahagiaan untuk kami serta keluarga yang bakal kami bina,” katanya.

Related Articles

Back to top button