
Pelakon, Uyaina Arshad, 33, berkongsi kisah kurang menyenangkan ketika awal pembabitannya dalam industri hiburan apabila diminta mencipta kontroversi murahan semata-mata untuk meraih perhatian.
Berkongsi pengalaman yang sama dilalui dengan luahan rakan seperjuangannya, Adriana Adnan, Uyaina berkata dia pernah disarankan memasuki kelab malam dan memegang arak untuk dijadikan bahan sensasi.
Pemilik nama lengkap Saidatul Naseha Uyaina Arshad, bagaimanapun bersyukur kerana tidak menurut permintaan tersebut dan menganggap keputusannya itu sebagai pilihan paling tepat sepanjang bergelar anak seni.
“Ketika mula-mula masuk industri, saya juga disuruh melakukan perkara sama, malah lebih teruk. Saya diminta pergi ke kelab malam, pegang arak dan ambil gambar, kemudian sebarkan hanya untuk cipta kontroversi,” kongsinya menerusi Threads.
Dalam masa sama Uyaina menegaskan, dia tidak menyesal menolak saranan berkenaan, malah menganggap tindakannya itu sebagai langkah bijak.
“Saya bersyukur tidak buat perkara bodoh. Tak mengapa Adriana,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Uyaina turut memberi kata-kata semangat kepada Adriana dengan menegaskan setiap individu mempunyai perjalanan dan rezeki masing-masing dalam industri.
“Setiap orang ada ruang, perkembangan dan rentak sendiri. Kita buat yang terbaik, selebihnya rezeki ditentukan Tuhan. Sekarang awak berada di landasan yang betul, teruskan melangkah. Saya sentiasa menyokong awak,” ujarnya.
Sebelum ini, Adriana meluahkan kekecewaan terhadap realiti dunia seni yang disifatkannya tidak adil meskipun dia sudah memberikan komitmen sepenuhnya.
Aktres itu turut mendedahkan pernah diminta mencipta kontroversi kerana dianggap terlalu ‘bersih’ untuk menyerlah.



