“Zaman Sekarang Sukar Cari Lelaki Provider”

Pelakon, Wanna Ali, 29, berpandangan realiti kehidupan masa kini menyaksikan tidak mudah untuk wanita menemui lelaki yang benar-benar bertanggungjawab serta bersedia memikul amanah menyara keluarga.
Pemilik nama sebenar Nor Syazwana Mohd. Ali, berkata, peranan sebagai pencari nafkah sememangnya telah ditetapkan kepada kaum lelaki sebagaimana yang digariskan dalam ajaran Islam.
“Sejujurnya, memang sukar untuk mencari lelaki yang boleh menjadi ‘provider’. Saya rasa lelaki yang betul-betul bertanggungjawab pada zaman sekarang ini semakin jarang ditemui. Jadi, saya doakan yang terbaik buat semua wanita kerana hakikatnya perkara ini bukan mudah.
“Apabila isu lelaki ‘provider’ dibangkitkan, ada pula yang mempersoalkan apa yang wanita boleh sumbangkan. Sedangkan dalam agama, tanggungjawab nafkah itu jelas terletak di bahu lelaki.
“Dalam masa sama, wanita juga perlu menjalankan peranan sebagai isteri yang taat dan setia,” katanya.
Tambah Wanna, wanita tidak seharusnya dipersalahkan jika mereka menetapkan kriteria tertentu dalam memilih pasangan, khususnya apabila sudah berusaha menjaga diri dan keluarga sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
“Bagi saya, tiada apa yang salah apabila wanita yang sudah berdikari menginginkan pasangan yang juga mampu menyara keluarga.
“Tidak masuk akal sekiranya selepas berkahwin, wanita pula yang perlu memikul tanggungjawab menyara suami,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Wanna menekankan kepentingan wanita untuk berdikari dan mempunyai sumber pendapatan sendiri sebagai persediaan menghadapi masa depan.
“Wanita perlu tahu berdikari dan mengurus kehidupan. Jangan hanya mengharapkan lelaki ‘provider’ sedangkan diri sendiri tidak bersedia, kerana nanti kita mudah dilabel sebagai ‘mata duitan’.
“Sebab itu saya jaga diri dan keluarga sejak sebelum berkahwin. Apabila lelaki melihat usaha tersebut, dia akan sedar bahawa saya juga mampu berdiri sendiri,” jelasnya.
Wanna turut meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan suami, Khairil Amri Khalid, yang bertanggungjawab serta menjaga kebajikannya sejak mendirikan rumah tangga tahun lalu.
“Kalau ada yang kata saya kelihatan lebih berseri selepas berkahwin, itu kerana suami saya menjaga saya dengan baik,” katanya sambil berseloroh.



