“Dosa Dengan Manusia Jika Tidak Dimaafkan Akan Merangkak Di Padang Mahsyar”
Pelakon, Pekin Ibrahim, 44, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa dirinya dan isteri, Mona Allen, meraikan Krismas seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Pemilik nama sebenar Mohd. Iznan Ibrahim menjelaskan bahawa acara yang dihadiri mereka hanyalah sambutan ulang tahun kelahiran dua ahli keluarga terdekat yang kebetulan jatuh pada malam perayaan tersebut.
“Sebenarnya malam itu hanya perhimpunan biasa membabitkan beberapa ahli keluarga untuk meraikan ulang tahun seorang saudara serta seorang lagi kenalan rapat.
“Macam biasa, kalau rumah keluarga kita santai-santai, pakai pun baju tidur sebab dah malam. Kami pula sampai ke rumah itu agak lambat, tak sangka ada yang buat ‘live’.
“Kalau tengok video itu, antara aktiviti parti hari jadi berkenaan adalah permainan ‘muzikal chair’. Tiada pun acara bertukar hadiah seperti diperkatakan,” katanya.
Pekin menambah, keluarga mereka mempunyai ramai saudara bukan Islam memandangkan dia lahir daripada perkahwinan campur, namun setiap anggota keluarga saling menghormati kepercayaan masing-masing.
“Keluarga saya mempunyai campuran Cina, manakala isteri berdarah Melayu, Scotland dan Britain, sekali gus perkahwinan campur nenek moyang kami membawa kepelbagaian tradisi.
“Walaupun ahli keluarga kami meraikan perayaan mereka seperti Krismas, tidak bermakna kami tidak peka terhadap perkara seumpama ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pekin turut kesal apabila ada pihak menyebarkan gambar isterinya tanpa hijab, yang akhirnya mencetuskan salah faham lebih meluas.
“Dalam keadaan tidak sedia dan keluar kereta sambil dukung anak memang serba kalut, tambahan pula tak sangka ada yang buat ‘live’. Selepas itu baru Mona terus pakai tudung.
“Memang dia terkhilaf tapi mereka yang sebarkan video tersebut sehingga mengundang fitnah juga bertindak melampau.
“Dosa dengan Allah kita boleh minta ampun dan bertaubat, tetapi dosa dengan manusia jika tidak dimaafkan akan merangkak nanti di Padang Mahsyar.
“Jangan terus jatuh hukum tanpa mengetahui keadaan sebenar. Saya pun tidak mahu ulas lebih lanjut, enggan disensasikan lagi,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Sebelum ini, nama Pekin dan Mona menjadi tular selepas tersebar video kononnya mereka meraikan Hari Natal sambil bertukar hadiah.
