Pelajar Menangis Teresak-Esak Ditahan JPJ Sebab Tunggang Motor Kakak Tanpa Lesen

Pelajar Menangis Teresak-Esak Ditahan JPJ Sebab Tunggang Motor Kakak Tanpa Lesen

Seorang remaja hanya mampu tersenyum kelat dan memberikan alasan ringkas selepas ditahan kerana menunggang tanpa lesen memandu yang sah.

Remaja tersebut merupakan antara individu serta kenderaan yang diperiksa oleh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu operasi penguatkuasaan besar-besaran yang dijalankan baru-baru ini di Plaza Tol Gombak dan beberapa lokasi lain sekitar Kuala Lumpur.

Ketika ditahan, remaja itu memberitahu pegawai berkenaan yang dia sedang dalam perjalanan ke sebuah bistro berhampiran untuk makan bersama abangnya.

Remaja berusia 14 tahun itu, yang merupakan pesalah paling muda ditahan dalam operasi berkenaan, turut mengaku pernah dikenakan saman atas kesalahan yang sama sebelum ini.

Dalam satu kes berasingan, seorang pelajar sekolah menengah perempuan dari Seri Kembangan menangis teresak-esak selepas ditahan kerana menunggang motosikal milik kakaknya tanpa kebenaran untuk berjumpa rakan.

“Dia tak tahu saya guna motosikal itu. Ibu bapa saya pun tak tahu saya keluar malam ini, apatah lagi ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Pelajar itu mula menangis selepas dimaklumkan bahawa motosikal tersebut akan disita.

Sementara itu, Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata sebanyak 3,244 kenderaan telah diperiksa dan 811 saman dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan.

Sebanyak 63 buah motosikal yang diubah suai secara ekstrem turut disita dalam operasi yang bermula pada jam 10 malam itu.

“Pemeriksaan melibatkan pematuhan spesifikasi teknikal, nombor pendaftaran sah, lesen memandu serta cukai jalan.

“Bagi operasi kali ini, penguatkuasaan tertumpu kepada penunggang yang melakukan pengubahsuaian melampau. Perhatian khusus diberikan kepada penunggang bawah umur yang melakukan aksi berbahaya seperti gaya ‘superman’, wheelie, menunggang secara zig-zag dan perlumbaan haram,” katanya.

Related post

Leave a Reply