Marygrace Guna Wang Kemenangan RM500,000 Buka Kedai Cat Kereta
Kemenangan besar sebagai juara program realiti Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) bukan sahaja mengubah haluan kerjaya nyanyian Marygrace, 24, malah membuka ruang untuk impian peribadi yang telah lama disimpan.
Menurut pemilik nama lengkap Marygrace Jane Penserga, dia hasrat untuk membawa ibu dan adiknya menunaikan ibadah umrah pada tahun hadapan, sebagai tanda kesyukuran atas rezeki yang diterimanya selepas mencipta nama dalam industri hiburan.
“Perlu banyak perkara yang saya susun dulu kerana adik saya masih belajar dan kini dalam bulan terakhir latihan industri. Jadi, semua ini perlu dirancang dengan baik.
“Walaupun secara peribadi saya rasa masih belajar untuk bersedia, ibu memang sangat berharap kami sekeluarga dapat menunaikan umrah bersama, termasuk mak saudara. Mudah-mudahan hasrat itu tercapai tahun depan,” katanya.
Dalam pada itu, Marygrace turut berkongsi bagaimana hadiah kemenangan CSOIAM dimanfaatkan secara berhemah, apabila dia memilih untuk melabur dalam perniagaan berbanding berbelanja semata-mata.
Menurutnya, sebahagian wang kemenangan digunakan untuk membuka sebuah kedai mengecat kereta bersama rakan kongsi di Kota Kinabalu, Sabah, selari dengan minatnya terhadap dunia automotif sejak sekian lama.
“Saya memang minat kereta dari dulu, jadi saya rasa perniagaan berkaitan automotif adalah pilihan yang tepat untuk jangka panjang.
“Selain itu, saya juga gunakan sebahagian wang tersebut untuk membeli tanah kerana saya menyimpan impian membina rumah untuk keluarga suatu hari nanti,” jelasnya lagi.
Mengulas mengenai hala tuju karier seninya, penyanyi kelahiran Negeri Di Bawah Bayu itu berkata dia kini dalam perancangan untuk mengadakan sebuah showcase di Sabah susulan permintaan tinggi daripada peminat tempatan.
“Saya bercadang untuk mulakan di Kota Kinabalu atau Keningau dahulu kerana ramai rakan dan peminat di sana yang bertanya.
“Inspirasi untuk buat showcase ini datang daripada rakan seperjuangan saya di CSOIAM, Zazleen Zulkifli, yang sebelum ini berjaya menganjurkan persembahan sendiri bersama peminat,” katanya lagi.
Untuk rekod, Marygrace dinobatkan sebagai juara CSOIAM pada Februari lalu dan membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM1 juta, termasuk wang tunai RM500,000, sebuah kereta Peugeot 408 GT, kontrak rakaman bersama Alternate Records serta sebuah lagu baharu ciptaan dan terbitan Ade Govinda.
