Putera Muhammad Timang Cahaya Mata Pertama Selepas 5 Tahun Menanti Zuriat
Penyanyi, Putera Muhammad berkongsi khabar gembira apabila dia dan isteri akhirnya dikurniakan cahaya mata pertama pada 6 Disember lalu selepas lima tahun menanti zuriat.
Putera mengakui kelahiran bayi perempuan mereka yang diberi nama Akira Maryam, menjadi anugerah yang sangat berharga buatnya dan isteri, Nur Aqilah Maria.
Mereka sebelum ini sudah mencuba pelbagai usaha termasuk rawatan in-vitro fertilisation (IVF), namun belum berjaya.
“Lima tahun kami ikhtiar pelbagai cara, termasuk IVF tahun lepas. Bila tak berhasil, kami reda, kalau ditakdirkan hidup berdua sampai tua pun kami terima.
“Tapi Allah beri rezeki lebih indah daripada apa yang kami jangka. Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dan menjaga amanah ini sebaik mungkin,” katanya.
Menurut vokalis Madam Band itu lagi, ketika isterinya hamil, dia dan anggota kumpulan lain sedang sibuk menyiapkan album baharu, namun dia tetap memastikan masa lebih tertumpu kepada keluarga.
“Kami kurangkan aktiviti malam dan saya banyak bantu isteri sepanjang tempoh kehamilan,” katanya.
Akira Maryam dilahirkan sekitar jam 9.30 pagi, Sabtu lalu dan detik itu disifatkan Putera sebagai antara pengalaman paling mengubah hidupnya.
“Melihat sendiri proses kelahiran anak saya rasa hidup berubah 100 peratus. Kini ada satu lagi tanggungjawab besar yang perlu saya perjuangkan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Putera turut merancang melancarkan sebuah lagu istimewa khas buat anaknya selain album terbaharu kumpulan Madam yang dijangka menemui peminat pada Mac tahun depan.
“Insya-Allah lagu untuk Akira akan dikeluarkan pada masa yang sesuai. Album pula hampir siap, cuma tinggal susunan muka depan dan sesi fotografi,” jelasnya seperti dilaporkan Berita Harian.
