BTS Jadi Artis Korea Pertama Terima Sijil Presiden Atas Usaha Amal
Kumpulan K-Pop popular, BTS menjadi bintang Korea pertama menerima Sijil Penghargaan Presiden di Korea Good Donation Awards ke-5, yang dianjurkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan bersama Majlis Sukarelawan dan Amal Korea pada 8 Disember lalu.
Menerusi ucapan, BTS berkata yang kempen Love Myself memberi impak yang sangat positif dalam kalangan masyarakat.
“Kami berasa sangat berpuas hati kerana kempen Love Myself telah memberi impak positif kepada masyarakat. Kami percaya anugerah ini bukan untuk kami semata-mata, tetapi sebagai sokongan dan dorongan kepada semua yang menyahut mesej ‘mencintai diri dan mencintai dunia’.
Kami khususnya ingin mendedikasikan penghormatan ini kepada ARMY, yang membantu membina kempen ini bersama kami. Kami akan terus berusaha menyumbang kepada perubahan yang baik dan sihat,” ujar BTS.
BTS menjadi artis K-Pop pertama bekerjasama secara rasmi dengan Jawatankuasa UNICEF Korea pada tahun 2017 melalui pelancaran kempen Love Myself. Melalui inisiatif ini, mereka menyokong program pencegahan keganasan dan perkhidmatan kesihatan mental untuk kanak-kanak dan remaja di 155 negara dan wilayah.
Mereka juga menyediakan program kesejahteraan mental kepada lebih 100 juta individu di seluruh dunia.
Bersama kumpulan dan label BigHit Music, mereka menjadi rakan swasta terbesar UNICEF dalam perlindungan kanak-kanak global, mengumpul kira-kira 9.2 bilion won (RM25.7 juta) bersama peminat, mewakili sekitar 15 peratus daripada dana perlindungan kanak-kanak UNICEF.
Selain kerjasama dengan UNICEF, BTS terus diiktiraf dalam dan luar negara kerana mendorong perubahan sosial positif melalui sumbangan berterusan dan penglibatan bermakna dalam isu kemasyarakatan.
Untuk rekod, Korea Good Donation Awards mengiktiraf individu dan organisasi yang memberi inspirasi kepada masyarakat melalui usaha perkongsian dan kerja amal, serta memupuk budaya memberi yang matang sejak 2021.
Sumber: Allkpop
