Nubhan Sokong Jika Bekas Isteri Mahu Jadi Artis
Penyanyi Nubhan, 39, menegaskan dia sentiasa berdiri di belakang bekas isterinya, Dr. Afifah Hidayah dalam apa jua keputusan yang ingin diambil wanita itu termasuk jika Afifah mahu mencuba nasib dalam industri hiburan.
Menurut pemilik nama penuh Ahmad Nubhan Ahamad, dia tidak pernah meletakkan sebarang halangan terhadap impian bekas isterinya dan sentiasa terbuka memberi sokongan.
“Saya sokong apa saja yang dia ingin lakukan. Sama ada dia mahu menjadi artis, kekal sebagai doktor atau apa-apa pun, saya tak pernah menghalang,” katanya.
Tambah Nubhan, dia turut meluahkan rasa syukur apabila kehidupannya selepas bercerai masih teratur dan berjalan dengan baik. Fokusnya kini tertumpu kepada kerjaya, perniagaan serta membesarkan anak-anak.
“Selepas perceraian, semuanya baik. Saya fokus pada kerja, keluarga dan anak-anak. Saya hanya mahu terus maju ke depan dan melakukan yang terbaik untuk diri saya serta mereka yang bergantung harap pada saya,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai perubahan hidup selepas berpisah, Nubhan mengakui rutinnya tidak banyak berubah dan dia meneruskan tanggungjawab seperti biasa.
“Tidak banyak yang berbeza. Kehidupan diteruskan seperti biasa dengan tugasan harian. Sekarang saya sibuk dengan GV dan kerjaya seni pun dalam fasa yang saya sendiri tak dapat jangka. Apa pun, saya akan lakukan yang terbaik,” katanya.
Jelasnya lagi, sekiranya kerjaya nyanyian kembali bersinar, dia akan membahagikan fokus antara dunia seni dan perniagaan yang telah lama diusahakan.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Afifah sah bercerai talak kedua pada 2 Disember lalu selepas sedekad mendirikan rumah tangga. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3 tahun.
