Majlis Kahwin Berantakan Gara-Gara Tetamu Berebut Pencuci Mulut
Apa yang sepatutnya menjadi majlis resepsi perkahwinan penuh kegembiraan di India bertukar kecoh selepas pergaduhan tercetus kerana penyediaan pencuci mulut yang tidak mencukupi.
Portal berita India, NDTV melaporkan, kejadian itu berlaku di sebuah hotel di kampung Bodh Gaya, Bihar baru-baru ini.
Menerusi rakaman CCTV tular, tetamu dari kedua-dua pihak pengantin kelihatan bergaduh dan membaling kerusi plastik dalam keadaan marah.
Selain menggunakan kerusi plastik, tetamu turut menggunakan pinggan dan objek lain untuk memukul antara satu sama lain.
Pergaduhan bermula sejurus selepas upacara perkahwinan tamat, apabila keluarga pengantin perempuan mengadu rasgulla, iaitu pencuci mulut popular negara itu di kaunter telah habis.

Difahamkan, pasangan pengantin sedang dalam perjalanan ke dewan perkahwinan ketika insiden berlaku.
Pergaduhan reda secara beransur-ansur selepas beberapa tetamu lain cuba campur tangan.
Polis berkata, beberapa individu dari kedua-dua pihak mengalami kecederaan.
Dalam masa sama, pihak polis mengesahkan keluarga pengantin perempuan telah membuat laporan berkaitan hantaran terhadap keluarga pengantin lelaki selepas majlis dibatalkan susulan kekecohan tersebut.
Walaupun pihak pengantin lelaki mahu meneruskan perkahwinan, keluarga pengantin perempuan menolak.
Ibu pengantin lelaki mendakwa, sepanjang kekecohan itu berlaku, keluarga pengantin perempuan mengambil barang kemas yang sepatutnya dijadikan hadiah.
Ahli keluarganya juga mendakwa bahawa mereka yang menempah hotel tersebut.
Sumber: Mothership
