“Kita Orang Melayu, Diajar Beradab”
Penyanyi, Ziana Zain, 57, meluahkan rasa kesal apabila masih ada segelintir netizen yang menggunakan media sosial sebagai ruang untuk melepaskan amarah dan menjadikan selebriti sasaran kecaman tanpa usul periksa.
Menurut pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain, setiap kali dia bersiaran langsung, pasti muncul individu yang mengambil kesempatan menulis komen sinis dan menyakitkan hati.
“Orang yang datang serang orang lain ini sebenarnya tidak bahagia. Mereka tak senang tengok orang lain gembira,” katanya yang sudah lali namun tetap hairan dengan punca kemarahan segelintir pihak.
Jelas pelantun lagu Putus Terpaksa itu lagi, ada komen yang terlalu melampau tetapi dia memilih untuk tidak memberi perhatian.
“Kalau mereka nak teruskan perangai negatif, silakan. Saya tak simpan dalam hati. Saya tak layan kerana ia cuma memusnahkan fikiran. Lagi kita balas, lagi mereka suka,” ujarnya.
Tambah Ziana, perilaku pengguna media sosial yang sewenang-wenangnya menyerang orang lain ini sangat membimbangkan, terutama jika dinormalisasi dalam kalangan remaja.
“Saya maafkan saja. Cuma saya takut kalau budaya menghambur kata-kata buruk ini jadi ikutan anak muda. Tidak elok kalau kita biasakan menyerang orang tanpa sebab.
“Anda ada adik-adik, ada anak-anak. Kalau tunjuk sikap yang tak baik, mereka akan ikut. Dan semua perbuatan itu nanti perlu dijawab di akhirat,” katanya.
Dalam pada itu, Ziana menegaskan dia terbuka menerima teguran, namun biarlah disampaikan dengan adab.
“Kita orang Melayu, orang Islam. Kita diajar beradab. Perkataan buruk lahir daripada hati yang tak elok. Jadi didiklah hati untuk jadi lebih baik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ziana bakal menjayakan konsert Sembilu The Reunion Live in Concert bersama Erra Fazira dan Awie pada 7 Februari 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil.
