“Saya Selesa Bertudung Labuh” – Elly Mazlein

Penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein, 45, mendedahkan keputusan untuk berhijab merupakan manifestasi daripada peningkatan pemahaman terhadap tuntutan agama dalam hidupnya.
Pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, menjelaskan walaupun kerap menerima pujian kerana penampilan menutup aurat, dirinya masih dalam proses pembelajaran dan tidak menganggap hijrah ini belum sempurna sepenuhnya.
“Bila saya berhijab, memang nak ikut syariah walaupun belum sempurna. Kita cuba dulu mana yang boleh sebab kita masih belajar.
“Ilmu ni datang sedikit demi sedikit jadi saya cuba jaga sebaik mungkin. Saya nak pakai apa yang buat saya selesa. Saya selesa bertudung labuh.
“Keluar rumah pun pilih tudung labuh sebab itu paling sesuai dengan saya. Terima kasih, kadang-kadang kata-kata itu jadi semangat untuk kita semangat nak jadi muslimah lebih baik,” katanya.
Tambahnya Elly, pemilihan tudung labuh kini bukan sahaja menjadi rutin harian, malah menjadi syarat penting setiap kali menerima sebarang tawaran kerja.
“Memang syarat saya. Kalau ada tawaran atau kerja, saya akan beritahu awal ‘stylist’ bahawa tudung mesti labuh menutup dada.
“Saya pilih bawal sebab mudah untuk bekerja. Stylist pun saya maklumkan supaya apa jua gaya tetap tutup bahagian sepatutnya.
“Setakat ni semua hijab-stylist sangat bagus. Tak ada isu pun tentang tudung labuh akan menutup fesyen sebab saya memang selesa begitu,” ujarnya.
Tambah pelantun lagu Sabarlah Hati itu, dia bersyukur kerana setiap produksi drama dan filem menerima dan memberi sokongan terhadap pilihan pakaian yang digayakan.
“Baru-baru ni shooting pun semuanya okey. Mereka tak ada masalah dengan pemakaian saya. Saya pakailah jenis tudung macam mana pun asalkan labuh, mereka terima. Alhamdulillah, semua dipermudahkan,” katanya.




Testing