Dewan Rakyat Lulus Pindaan FINAS, Fokus Kepada Tadbir Urus & Kesejahteraan Kru
Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025 yang menjadi satu langkah penting dijangka memperkukuh tadbir urus, kawal selia serta kesejahteraan pekerja dalam industri perfileman tempatan.
Menurut kenyataan rasmi FINAS, pindaan ini bertujuan memastikan perbadanan terus relevan dan efektif dalam memacu pembangunan sektor kreatif negara.
“Pindaan ini menyelaraskan Akta FINAS 1981 dengan keperluan industri semasa serta perkembangan teknologi terkini, termasuk platform digital, Over The Top (OTT) dan evolusi penghasilan kandungan kreatif tempatan.
“Pindaan ini juga memastikan dasar dan peraturan subsidiari FINAS kekal relevan, responsif dan menyokong pembangunan industri untuk jangka panjang,” jelas kenyataan rasmi FINAS.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menjelaskan meskipun platform video-on-demand seperti Netflix, Viu, Disney+ Hotstar, Amazon Prime, serta platform tempatan seperti Astro Go, Tonton dan Sooka menjadi sebahagian daripada ekosistem kandungan hari ini, penyedia perkhidmatan OTT masih dikecualikan daripada keperluan pelesenan.
“Bagi platform digital, hanya aktiviti pengeluaran (production) dan pengedaran (distribution) filem tertakluk di bawah kawal selia FINAS. Aktiviti pemameran (exhibition) pula hanya boleh dikuatkuasakan sekiranya pelesenan VOD diwujudkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelasnya.
Pindaan berkenaan turut memperluaskan skop Akta 244 bagi merangkumi semua bentuk pengeluaran dan pengedaran komersial, termasuk filem, drama, dokumentari, animasi dan iklan yang ditayangkan di televisyen, satelit, pawagam, OTT dan media sosial.
Kerajaan menekankan bahawa pindaan ini bukan bertujuan menyekat kreativiti, sebaliknya memastikan ekosistem produksi yang lebih selamat, teratur dan profesional.
Selain itu, FINAS akan memperincikan perlindungan melalui peraturan subsidiari yang merangkumi kebajikan kru dan pekerja produksi, kontrak standard, jaminan pembayaran, keselamatan kerja, perlindungan insurans seperti PERKESO serta aspek keselamatan di set penggambaran.
Dengan kelulusan pindaan ini, FINAS menyambut baik kelulusan pindaan itu kerana ia membolehkan perbadanan tersebut terus berfungsi sebagai peneraju industri yang lebih moden, telus dan berintegriti, selaras dengan kemajuan teknologi serta keperluan industri perfileman negara.
