Nourul Depp Pernah Jalani Pembedahan Buang Uterus & Ovari Akibat Kanser

Nourul Depp Pernah Jalani Pembedahan Buang Uterus & Ovari Akibat Kanser

Penyanyi, Nourul Depp, 48, terbuka berkongsi dugaan besar yang pernah dilaluinya meskipun kini dilihat ceria dan aktif menjalani kehidupan bersama keluarga.

Tanpa disedari ramai, pemilik nama penuh Noorulhuda Abdul Wahab, pernah disahkan menghidap kanser saluran faraj tahap pertama sekitar tahun 2018.

Menceritakan pengalaman tersebut, Nourul berkata penyakit itu memaksanya menjalani dua pembedahan utama iaitu pembuangan uterus pada September 2020 dan seterusnya ovari pada tahun berikutnya.

“Doktor pernah cadangkan suntikan vaksin HPV selama enam bulan, biasanya untuk wanita yang ada masalah pada uterus.

“Tapi walaupun dah ikhtiar, kanser itu tetap muncul dan berkembang daripada pra-kanser ke tahap satu. Proses itu berlaku sehingga saya anak keempat.

“Apabila doktor sahkan ia benar-benar kanser, saya buat keputusan untuk buang uterus dan ovari. Alhamdulillah, sekarang keadaan saya stabil,” katanya.

Nourul ketika pengumuman konsert baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nourul mengakui tekanan melampau turut menjadi punca kepada masalah kesihatannya.

Stres itu berpunca daripada kerugian RM80,000 selepas ditipu sebuah syarikat tempatan yang berjanji mahu menerbitkan album bahasa Perancis untuknya pada tahun 2018.

“Mereka janji nak taja dan semua dokumen perjanjian pun lengkap. Saya dan suami tandatangan perjanjian dan kami keluarkan modal dulu.

“Tapi akhirnya kami ditipu. Kes masuk mahkamah, tapi sampai sekarang mereka hilang begitu saja dan RM80,000 langsung tak dapat balik.

“Tekanan masa itu memang dahsyat. Bila hormon kortisol meningkat akibat stres, ia boleh undang banyak penyakit. Ramai pesakit kanser hari ini pun hadapi situasi sama, stres berpanjangan,” katanya.

Nourul bagaimanapun bersyukur kerana kembali pulih dan kini memberi tumpuan pada kesihatan, keluarga dan perjalanan seni yang masih diteruskan dengan semangat baharu.

Mengulas mengenai perkembangan terbaharu pula, Nourul bakal mengadakan konsert For You: Nourul sebagai simbolik kepada perjalanan 30 tahun ke dalam industri.

Konsert tersebut bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 17 April 2026 pastinya akan mengimbau kembali suka duka Nourul menjadi anak seni selain mengubat kerinduan peminat setianya.

“Ini adalah impian yang sudah lama tertangguh. Akhirnya saya dapat memberikan sebuah persembahan yang benar-benar sepenuh hati, bertenaga yang anak dinikmati setiap mereka yang hadir nanti,” katanya.

Konsert yang dibawakan khas oleh Rong Geng Entertaiment itu sudah boleh dibeli menerusi www.ticket2u.com.

Related post

Leave a Reply