Nubhan & Dr. Afifah Sah Bercerai Kali Kedua, Pilih Kekal Berkawan Demi Anak-Anak
Penyanyi Ahmad Nubhan Ahamad, 39, sah bercerai buat kali kedua dengan isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, selepas Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Selasa mengesahkan lafaz talak yang berlaku pada 26 Ogos lalu.
Menurut peguam mewakili Nubhan, Mohd Redzuan Ramli, mahkamah turut mengesahkan rekod lafaz cerai pertama pasangan itu yang berlaku pada 19 Januari 2017 diikuti rujuk pada 21 Januari 2017.
“Mahkamah mengesahkan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk tersebut. Pihak defendan (Dr. Fie) diperintahkan menjalani tempoh idah bermula 26 Ogos dan kemungkinan tempoh itu telah tamat,” katanya.
Prosiding berkenaan diadakan bagi pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk yang difailkan Nubhan sebelum ini.
Sementara itu, peguam mewakili Dr. Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kader, memaklumkan pihaknya akan berbincang dengan Nubhan berhubung urusan harta sepencarian, mutaah dan nafkah anak.
“Kita akan cuba berunding… Kalau berjaya capai persetujuan, kita akan rekodkan kepada mahkamah,” katanya.
Walaupun hubungan rumah tangga mereka berakhir, Nubhan menegaskan tiada masalah untuk mengekalkan hubungan baik dengan bekas isterinya demi anak-anak.
“Selepas ini, kami masih boleh berkawan baik demi anak-anak. Saya rasa tak ada masalah untuk berkawan, hubungan kami diharapkan masih baik.
“Fokus kami adalah untuk menjaga kebajikan anak dan besarkan mereka dengan baik, insya-Allah. Saya harap yang terbaik untuk semua pihak dan buat bekas isteri saya juga,” katanya.
Ditanya sama ada masih menyimpan perasaan terhadap Dr. Afifah, penyanyi itu memilih untuk tidak mengulas lanjut.
“Saya tak boleh komen perkara itu. Kita orang yang baik-baik sajalah,” ujarnya ringkas.
Mengulas perjalanan prosiding, Nubhan mengakui lega kerana semuanya berlangsung dengan baik.
“Tak ada siapa yang mahukan perceraian berlaku, tapi saya bersyukur semuanya selesai dengan baik. Doakan yang terbaik untuk kehidupan kami selepas ini,” katanya lagi.
Nubhan dan Dr. Afifah, seorang doktor gigi, mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6 dan Afzan Nayille, 3.
