“Kalau Saya Patah Semangat, Kesannya Pada Anak-Anak”

“Kalau Saya Patah Semangat, Kesannya Pada Anak-Anak”

Pelakon, Rebecca Nur Al Islam, 39, berkongsi cabaran menjadi ibu tunggal selepas berpisah dengan bekas suami dan menekankan kekuatan diri kini menjadi keutamaan demi tujuh cahaya mata.

Rebecca berkata, pengalaman baharu ini memerlukan dia sentiasa memberi tumpuan kepada kesejahteraan emosi anak-anak, sekaligus menahan diri daripada larut dalam kesedihan.

“Sebagai ibu tunggal, tanggungjawab saya lebih besar. Saya perlu pastikan anak-anak stabil secara emosi dan tidak boleh terlalu memikirkan diri sendiri.

“Selepas berpisah, saya kena kuatkan diri. Kalau saya lemah atau patah semangat, kesannya pada anak-anak lebih besar,” katanya dalam satu perkongsian video.

Rebecca turut menegaskan meskipun rumah tangga mereka sudah berakhir, bekas suami tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa dan hubungan mereka dengan anak-anak masih baik.

“Bapa mereka masih hadir dalam hidup mereka. Alhamdulillah semuanya okey. Harapan saya adalah menjadi ibu yang kuat dan memastikan anak-anak sihat serta bahagia,” ujarnya lagi.

Rebecca turut menasihati ibu tunggal lain agar tidak membicarakan aib bekas pasangan demi kebaikan anak-anak.

“Segala yang kita miliki hanyalah pinjaman. Jangan mendedahkan kelemahan pasangan kerana ia turut menjejaskan anak-anak. Percayalah, Allah sentiasa ada untuk beri yang terbaik,” katanya.

Rumah tangga Rebecca dan Datuk Nur Azman Sulaiman berakhir selepas 18 tahun bersama.

Mereka dikurniakan enam cahaya mata sendiri dan membesarkan anak angkat mereka iaitu Nor Adam Daniel kini berusia 16 tahun.

Related post

Leave a Reply