Mudborn Pecah Rekod! Filem Seram Cina Nombor Satu Di Malaysia
Filem seram berjudul Mudborn yang diadaptasi daripada lagu kanak-kanak paling misteri, terus mencatat kejayaan besar di pawagam Malaysia apabila mendapat sejumlah kutipan tertinggi sejak ditayangkan di Malaysia.
Naskhah ini bukan sahaja memecahkan rekod sebagai pembukaan tertinggi untuk filem seram Cina di negara ini, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu filem seram Cina paling laris pada tahun 2025.
Ditayangkan di seluruh Malaysia bermula 27 November lalu, Mudborn mengubah melodi kanak-kanak yang pernah menemani zaman kecil ramai penonton kepada sebuah mimpi ngeri penuh sumpahan dan kerasukan.
Filem ini diinspirasikan daripada lagu kanak-kanak terkenal “Ni Wa Wa, Ni Wa Wa, Yi Ge Ni Wa Wa…” (Anak Patung Tanah Liat).
Walaupun kedengaran riang, liriknya sebenarnya menyimpan sisi gelap yang semakin menyeramkan apabila didengar kembali sewaktu dewasa.
Antara bait yang sering diperkatakan ialah, “Matanya tidak berkelip, mulutnya tidak berkata, dia bukan anak patung sebenar…”
Diterajui pelakon pemenang Anugerah Golden Horse iaitu Yang Yo-Ning, bersama bintang Hong Kong berkarisma Cecilia Choi, Mudborn turut menampilkan Derek Chang, Puff Kuo dan Joanne Tseng.
Kesemua mereka terjerat dalam “sumpahan tanah liat” yang menyeramkan, menggabungkan elemen realiti maya (VR) serta ritual pengusiran roh berasaskan ajaran Tao.
Gabungan ini memperkenalkan gaya seram Taiwan yang unik, segar dan penuh ketegangan.
Dengan kejayaan kutipan melepasi RM10 juta, Mudborn membuktikan bahawa filem seram berbahasa Mandarin mampu bersaing dengan produksi tempatan, termasuk hit Malaysia Malam Terlarang yang sebelum ini mencatat prestasi cemerlang di pawagam.
