‘Terima Kasih Kepada Yang Bercakap’ – Dafi

Penyanyi, Dafi menafikan dirinya mengambil barang terlarang susulan tuduhan segelintir warganet yang mengaitkan penurunan berat badannya.
Menurut pemilik nama penuhnya Gadaffi Ismail Sabri Yaakob, dakwaan tersebut langsung tidak menyinggung perasaannya. Sebaliknya, dia melihat dakwaan itu sebagai bentuk keprihatinan terhadap keadaan dirinya.
“Terima kasih kepada yang bercakap.Yang bercakap itu sebenarnya risaukan keadaan saya. Sebab itu saya tidak terasa hati apabila dituduh guna dadah. Malah saya berterima kasih.
“Mereka seperti memberi teguran. Menyedarkan yang fizikal saya memang nampak terlalu kurus. Kerana cakap-cakap netizen itulah saya berhenti daripada terus mengawal pemakanan secara keterlaluan.
“Saya sendiri pun tidak sedar yang badan saya ketika itu terlalu kurus. Jadi saya hargai kata-kata netizen walaupun saya dituduh perkara yang saya tak lakukan,” katanya.
Mengulas lanjut, Dafi berkata pengalaman dibuli kerana berbadan besar ketika zaman kanak-kanak menyebabkan dia menjadi terlalu obses mengawal berat badan hingga sanggup mengambil langkah tidak sihat.
“Berat badan saya pernah mencecah 97 kilogram. Disebabkan berbadan besar, saya pernah teruk dihina. Pengalaman itu membuatkan saya paranoid sampai sekarang.
“Dulu, saya pernah mencampurkan 10 biji pelbagai jenis pil kurus untuk turunkan berat badan. Kemudian saya sedar yang tindakan itu membahayakan saya.
“Dan tidak lama sebelum ini, saya sekali lagi membahayakan diri, dengan keterlaluan mengawal pemakanan sampaikan saya tak sedar yang berat saya menurun secara tidak sihat.
“Sebab itu saya hargai apabila isu berat badan saya diperkatakan orang. Mereka sebenarnya telah menyedarkan saya,” ujarnya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Dalam masa sama, pelantun lagu Bila Terasa Rindu itu turut menolak dakwaan kononnya keadaan fizikalnya sebelum ini mempunyai kaitan dengan ‘buatan orang’.
“Saya beberapa tahun lepas pernah kena buatan orang, tapi tidaklah membuatkan badan saya jadi kurus. Sekadar menjadikan saya malas, asyik tidur sahaja.
“Kalau ada perkara pelik berlaku kepada diri sendiri, saya segera bertindak untuk pulihkan keadaan.
“Cuma, saya mahu jelaskan di sini, berat badan saya sebelum ini turun mendadak bukan kerana buatan orang,” jelasnya lagi.



