SKYE, Kumpulan Yang Dianggotai Isaac Voo Umum Hiatus Tanpa Tempoh, Bakal Adakan Acara Bertemu Peminat 28 Disember Ini
Kumpulan SKYE (sebelum ini dikenali sebagai IN2IT) secara rasmi mengumumkan bahawa semua aktiviti kumpulan akan digantung untuk tempoh yang tidak ditetapkan.
Menurut mereka, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan menyeluruh dan pertimbangan rapi dibuat, dengan semua ahli kumpulan memilih untuk memberi tumpuan kepada kehidupan peribadi dan hala tuju masa depan masing-masing.
“Kami ingin memaklumkan bahawa selepas perbincangan menyeluruh dan pertimbangan rapi, kami telah memutuskan untuk menghentikan aktiviti rasmi SKYE.
“Ini bukanlah hiatus sementara, tetapi keputusan yang mencerminkan pertimbangan para ahli terhadap kehidupan peribadi dan laluan masa depan mereka. Sehubungan itu, tiada aktiviti rasmi akan dirancang selepas perjumpaan peminat hujung tahun kami.
“Kasih sayang, sokongan, dan dorongan yang anda berikan selama ini amat bermakna buat SKYE. Kami juga memohon maaf atas penyampaian berita mengejut ini. Kami berharap agar anda terus memberikan sokongan hangat ketika SKYE memulakan perjalanan baharu,” umum mereka.
Sementara itu, salah seorang anggota kumpulan, Isaac Voo menzahirkan rasa bersyukur dengan sokongan peminat selama ini.
“Terima kasih kepada semua yang tetap bersama, menyokong dan mempercayai saya sejak dari awal. Kasih sayang kalian lebih bermakna daripada yang kalian tahu, terutamanya ketika ada perkara yang tidak lagi berada dalam kawalan saya.
“Saya akan terus melangkah ke hadapan, walaupun ini bukan pengakhiran yang saya inginkan.
Tolong terus bersama saya. Saya akan tunjukkan perkembangan saya dan saya akan pastikan kepercayaan kalian tidak sia-sia,” tulis Isaac, yang merupakan idola K-Pop pertama dari Malaysia.
Penggantungan ini bukanlah hiatus sementara, dan tiada lagi aktiviti rasmi dirancang selepas perjumpaan peminat hujung tahun ini.
Sebagai peluang terakhir untuk peminat bertemu kumpulan tersebut, SKYE akan mengadakan satu persembahan penutup pada 28 Disember. Maklumat lanjut mengenai acara tersebut dan jualan tiket akan diumumkan kemudian.
